Khamis, 2 Julai 2009

Dewan tolak usul tergempar bahas H1N1

Salman Hussin


NUSAJAYA - Usul Tergempar Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, Dr Boo Cheng Hau (DAP-Skudai), supaya dewan membahaskan pencegahan epidemik H1N1 berhubung langkah-langkah yang memadai telah diambil oleh pihak-pihak berkuasa di negeri ini bagi mengelak penyakit infeksi berkenaan merebak, telah ditolak Speaker dengan alasan perkara tersebut telah diambil tindakan oleh kerajaan.

Usul di bawah Peraturan Tetap Bil. 30 Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dun Johor, yang disokong Adun Maharani, Dr Mohamad Taslim (PAS), bagaimana pun ditolak speaker dewan.

Ketika menolak usul tersebut speaker dewan, Dato' Mohd Ali Hassan, memberikan alas an perkara tersebut tidak perlu dibincang di dewan ini kerana kerajaan telah pun mengambil langkah-langkah perlu bagi menangani wabak tersebut.

"Memandangkan langkah-langkah pencegahan serta pengawalan wabak ini telah pun dilakukan kerajaan maka usul tersebut tidak perlu dibincangkan lagi di dewan ini.

Sementara itu ketika ditemui selepas menghadiri sidang Dun di Kota Iskandar, di sini, 26 Jun lalu, Dr Boo yang juga Pengerusi DAP negeri memberitahu, beliau memandang serius isu H1N1 ini kerana wabak ini boleh mengancam keselamatan dan nyawa rakyat negeri ini.

"Kita merasa sangat bimbang berikutan peningkatan jangkitan H1N1 yang dilaporkan sebanyak 15 peratus di Singapura sejak beberapa hari lalu, sebagai negara jiran yang paling hampir maka kita akan terdedah dengan risiko penularan wabak yang sangat merbahaya ini.

"Memandangkan usul tergempar ini ditolak maka kita mengharapkan kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan dapat mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah penularan wabak tersebut," ujar beliau. - azm _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.