Oleh Rafidah Mat Ruzki
SHAH ALAM: Seramai 77 saksi, termasuk 28 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah disapina untuk hadir ke prosiding inkues bagi mencari punca kematian setiausaha politik seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock, yang bermula hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata antara saksi itu, termasuk ahli keluarga Teoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat yang sebelum ini merakamkan keterangan mereka.
Katanya, polis menganggap siasatan kes itu sudah selesai, walaupun laporan penuh bedah siasat, patologi dan barang kes hanya diterima malam tadi.
Katanya, sapina itu mula diserahkan kepada saksi berkenaan sejak semalam, supaya mereka dapat hadir ke prosiding hari ini.
“Laporan yang kita sudah terima ialah laporan toksikologi dari Jabatan Kimia dan tiada laporan lain akan diterima dari jabatan itu.
“Berapa ramai saksi yang akan memberi keterangan akan ditentukan majistret (koroner). Esok beliau akan menerangkan bagaimana beliau akan menjalankan inkues itu,” katanya.
Bagaimanapun, Khalid berkata, siasatan kes itu masih lagi dibuka dan mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu dialu-alukan untuk terus menyalurkannya kepada polis.
Katanya, pada masa ini, kes itu masih lagi dikelaskan sebagai kematian mengejut dan jika ada maklumat lain pada laporan patologi, bedah siasat dan laporan barang kes yang menunjukkan bukti lain sehingga memerlukan kes itu dikelaskan semula, polis akan memaklumkan kepada koroner.
Ditanya mengenai hasil siasatan yang dijalankan selama ini, Khalid berkata, biarlah mahkamah menentukan punca kematian Teoh berikutan inkues sudah ditetapkan dan akan bermula hari ini.
Katanya, jika ada maklumat baru hasil laporan lain akan diterima yang memerlukan polis memanggil saksi yang sudah memberi keterangan, soal siasat lanjut akan dijalankan.
“Kita sudah berbincang dengan pendakwa raya dan kita sudah siap sedia untuk inkues esok. Kita polis adalah untuk membantu mahkamah mencari punca kematian atau ada perbuatan khianat atau tidak,” katanya.
Selain itu, Khalid berkata, polis tidak menerima maklumat berhubung sebarang perhimpunan membantah proses inkues itu yang akan diadakan hari ini.
Katanya, inkues itu adalah satu proses biasa keadilan dan tidak ada sebab untuk sesiapa membuat perarakan dan bantahan.
“Saya tidak percaya jika ada orang nak buat perarakan esok (hari ini). Tiada jalan yang akan ditutup,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.