Oleh Mohd Jamilul Anbia dan Salman Hamat
KUALA LUMPUR: Pendedahan mengejutkan apabila Ahli Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) tidak hanya dijanjikan gaji RM1,900 sebulan malah didakwa akan diserap sebagai ejen perisikan rahsia di sebuah jabatan kerajaan bagi mengumpul maklumat sulit.
Golongan itu yang bakal dilantik sebagai `pasukan elit' turut didakwa diberikan kuasa khas melangkau semua pasukan organisasi keselamatan termasuk polis untuk melakukan siasatan ke atas pelbagai kes berprofil tinggi.
Selain itu, semua maklumat perisikan yang diperoleh dikatakan akan digunakan untuk menjamin keselamatan negara daripada sebarang anasir luar.
Penubuhan organisasi perisikan sulit itu diketahui selepas seorang ahli kumpulan itu mula curiga dengan tindak tanduk PKPM lalu membuat laporan polis.
Difahamkan berikutan penahanan enam anggota penting kumpulan PKPM bersama ketuanya menyebabkan beberapa `dalang' lain di belakang PKPM yang masih bebas meminta supaya ahli lain tidak membocorkan sebarang maklumat.
Manakala mereka yang masih bebas dikatakan mengarahkan ahlinya yang berdaftar supaya mendiamkan diri dan tidak tampil membantu siasatan polis berhubung pergerakan pasukan itu.
Difahamkan, beberapa anggota penting PKPM menerima banyak panggilan daripada ahli termasuk yang pernah menghadiri temu duga menyertai pasukan itu selepas berita penahanan pemimpinnya tersebar.
Semua mereka dikatakan mahu mendapatkan penjelasan berhubung operasi pasukan itu serta status mereka selain apa yang perlu dilakukan jika dicari polis bagi membantu siasatan.
Seorang anggota PKPM yang dihubungi, semalam berkata dia sendiri menerima banyak panggilan dan meminta semua ahli bertenang dan mendakwa penahanan pemimpin PKPM itu berlaku kerana kesilapan teknikal.
“Sukar untuk saya jelaskan mengenai masalah teknikal itu. Tapi apapun semua ahli diminta mendiamkan diri dan tidak menonjol serta jangan tampil membantu siasatan polis.
“Kita akan menghubungi semua ahli selepas semua ini reda,” katanya.
Sementara itu, sumber berkata polis mendapati PKPM melakukan sekurang-kurangnya tiga penipuan terhadap ahlinya termasuk menjanjikan gaji mencecah RM1,900 dan bertugas sebagai perisik dalam badan kerajaan.
“PKPM mendakwa akan menyerap ahli ke dalam badan kerajaan untuk menyiasat penyelewengan. Selain itu, mereka juga mendakwa akan mewujudkan pasukan khas yang mempunyai kuasa melebihi polis untuk menyiasat kes pembunuhan berprofil tinggi,” katanya.
Kelmarin beberapa orang kanan PKPM serta pemimpin tertingginya ditahan polis selepas serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di ibu pejabat pertubuhan berkenaan di Taman Gombak Jaya, kira-kira jam 11.45 pagi.
Serbuan dilakukan selepas pemantauan dijalankan pihak polis mendapati pejabat pertubuhan itu menjalankan aktiviti merekrut dan mengambil ahli baru secara haram bagi tujuan mencurigakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.