Isnin, 29 Jun 2009

TUMPAS

Oleh AZIAN AZIZ


PELABUHAN KLANG - Seramai 36 warga Afghanistan dan enam warga Pakistan yang cuba diseludup keluar dari negara ini ditahan di perairan Selat Lumut dan Sungai Chondong di sini dalam operasi berasingan.

Kesemua lelaki berusia 22 hingga 59 tahun itu ditahan di dalam lima buah bot yang dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Sumatera sebelum ke destinasi sebenar iaitu Australia pada pukul 11 malam dan 9.30 pagi ini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang, Deputi Supritendan Marzuki Ismail berkata, turut ditahan dalam dua operasi itu ialah 11 warga Indonesia termasuk tiga wanita yang salah seorang daripadanya sedang sarat mengandung.

Beliau berkata, dua tekong dan empat awak-awak warga Indonesia yang mengemudi kesemua bot juga diberkas.

"Siasatan mendapati kesemua warga Afghanistan dan Pakistan tersebut mempunyai pasport dan masuk ke negara ini secara sah dengan alasan untuk melancong sejak seminggu lalu.

"Mereka kemudian diseludup ke Indonesia sebelum dibawa masuk ke Australia dipercayai untuk bekerja.

"Seramai 11 warga Indonesia yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) pula hanya menumpang bot-bot tersebut untuk ke Tanjung Balai," katanya kepada pemberita di Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Pulau Indah di sini hari ini.

Menurut Marzuki, pihaknya percaya kegiatan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum dihantar negara lain mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa.

Ujarnya, ini kali ketiga pihaknya memberkas kegiatan menyeludup keluar warga asing untuk dibawa ke Australia pada tahun ini.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 pindaan 2002 kerana masuk dan keluar dari negara ini melalui jalan yang tidak dibenarkan.

"Tekong bot pula ditahan mengikut Seksyen 56 (1) (d) akta yang sama iaitu sengaja memberi pelindungan kepada orang yang diketahui melanggar peruntukan akta yang sama," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.