Ahad, 28 Jun 2009

S Atan pula mahu saman

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri


KUALA LUMPUR: Komposer terkenal, S Atan memberi tempoh 14 hari kepada Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung dakwaan kononnya dia menipu rakaman muzik album terbaru penyanyi tersohor itu jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Peguam komposer itu, Mohd Effendy Rosley, berkata S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said, 59, akan memfailkan saman jika Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah, 55, serta beberapa individu lain gagal berbuat demikian.

“Anak guam saya memberi tempoh 14 hari untuk permohonan maaf secara terbuka mengenai dakwaan itu. Jika tidak, saman akan difailkan,” katanya yang dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, jumlah saman berkenaan belum diputuskan kerana mahu memberi peluang kepada defendan mengemukakan permohonan maaf.

“Kami akan kemukakan surat tuntutan dan (perkara) itu terserah pada anak guam saya menetapkan tempohnya.

“Tetapi jika tidak berhasil, saman akan difailkan kerana kenyataan dikeluarkan pihak terbabit mencemarkan nama S Atan dan ini perlu diperbetulkan untuk membersihkan kembali namanya,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, perbincangan boleh dibuat untuk membersihkan kembali imej anak guamnya dan defendan juga diminta memberi penjelasan terhadap dua kenyataan kepada media yang dilihat bercanggah.

“Kenyataan yang dikeluarkan Kak Pah mengenai album itu dilihat bercanggah kerana kali pertama, dia mendakwa album berkenaan tidak dibuat secara langsung tetapi kemudian dia bercakap pula album yang dibuat tidak berkualiti.

“Jadi kita tidak tahu apa sebenarnya motif dakwaan itu dibuat. Ia memang perlu diselesaikan secara perbincangan dan permohonan maaf oleh defendan supaya tidak merumitkan lagi keadaan,” katanya.

Kemelut antara Kak Pah dan S Atan bermula apabila penyanyi itu membuat pendedahan mengeluarkan wang RM83,000 untuk pembikinan album terbarunya tetapi mendakwa komposer itu tidak merakamkan muzik secara langsung seperti dijanjikan sebaliknya menggunakan program komputer.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hapuskanlah Air Matamu dan Bunga Tanjung itu turut memberi tempoh kepada S Atan sehingga 30 Jun ini untuk memulangkan semula wangnya jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, S Atan menerusi Harian Metro pada 22 Jun lalu menafikan dakwaan itu dan mendedahkan sebahagian besar wang itu digunakan untuk membiayai kos pemain muzik dan studio.

Anak kelahiran Geylang, Singapura, itu turut mendakwa dia menanggung kerugian dalam pembikinan album berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.