SINAR HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR – Bangunan pasar baru untuk barangan basah bernilai RM15 juta bakal dibina berhampiran Keramat Mall dan ia dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Beliau berkata, bangunan berasingan setinggi lima tingkat yang bakal dibina oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu akan bersambung dengan bangunan Keramat Mall.
Menurutnya, projek itu adalah tambahan kepada bangunan pasar sedia ada dan keputusan itu dibuat selepas mendengar rintihan serta pandangan daripada para peniaga dan pengguna ketika beliau mengadakan lawatan ke Keramat Mall sebulan lalu.
“Keputusan ini juga diambil berikutan para peniaga barangan basah di pasar lama enggan berpindah ke Keramat Mall kerana menganggap ia tidak mencerminkan cara peniagaan dan mungkin akan membantutkan perniagaan mereka pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di bangunan DBKL, Jalan Raja Laut, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup.
Katanya, bangunan yang bakal dibina itu akan dilengkapi dengan parkir bertingkat dan ia akan meningkatkan jumlah parkir sedia ada menjadi 600 petak untuk keselesaan peniaga serta pengguna.
Beliau berkata, peniaga pasar kering akan mula berpindah ke Keramat Mall pada Oktober ini dan proses pengundian untuk gerai akan diadakan pada Ogos depan.
“Proses pemindahan akan bermula lepas raya (Aidilfitri) pada Oktober dan memandangkan proses pindah melibatkan kos, jadi kita beri mereka masa untuk berpindah.
“Tempat menjual barangan basah di Keramat Mall akan diubahsuai untuk dijadikan tempat menjual barangan lain seperti kraf tangan dan perbincangan dengan Lembaga Kraftangan Malaysia akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut Raja Nong Chik, pihaknya juga akan menimbangkan tuntutan para penjaja di pasar itu yang mahukan sewa percuma dalam tempoh masa percubaan apabila mereka memulakan perniagaan di pasar baru itu kelak.
“Ini adalah pendekatan pihak kerajaan kepada golongan yang sememangnya memerlukan pembelaan tetapi kerajaan sudah membelanjakan wang yang banyak justeru kita kena pastikan aset kerajaan ini digunakan dengan segera dan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau berkata, pembaharuan yang dilakukan itu adalah untuk memastikan pasar berkenaan berjaya dan DBKL akan cuba menggalakkan lebih ramai peniaga masuk ke pasar itu secepat mungkin serta mempromosikannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.