Sabtu, 27 Jun 2009

Lebih 500 Ribu Individu Tidak Tunai Zakat Di Selangor

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


SHAH ALAM - Kira-kira 40 peratus atau lebih 500 ribu individu Melayu di Selangor yang layak membayar zakat masih gagal berbuat demikian manakala syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula sehingga kini hanya 1,300 syarikat sahaja yang sudah menunaikan tanggungjawab tersebut berbanding 15,000 jumlah sudah didaftarkan.

Dalam pada itu, sehingga Mei 2009 Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatatkan sebanyak RM15 juta zakat perniagaan sudah berjaya dikutip dengan 1,046 pembayar menjadikan jumlah keseluruhan kutipan zakat berjumlah RM73.7 juta.

Demikian kata Pengurus Besar, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hj Ahmad Shahir Makhtar pada Majlis Pembayaran Zakat Perniagaan dan Agihan Zakat di Hotel Quality pagi tadi dekat sini.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dato’ Dr. Hassan Mohamed Ali menggariskan tiga langkah bagi menangani masalah pembayaran zakat, antaranya ialah melahirkan kesedaran melalui penerangan-penerangan menyeluruh khususnya melalui media massa bagi menyampaikan idea zakat, meningkatkan penghayatan kepada kepentingan mengeluarkan zakat bagi membersihkan harta mereka yang sebahagiannya mempunyai hak umat Islam lain seperti anak-anak yatim dan ibu tunggal selain mendapat kemurkaan dan tiada keberkatan di sisi Allah dan akhirnya meningkatkan kekuatan umat Islam untuk meringankan tangan untuk menyalurkan zakat kepada saluran betul khususnya dalam kalangan korporat dan syarikat-syarikat di Selangor.

Sesungguhnya tanggungjawab menunaikan zakat itu amat penting demi kelangsungan sosio ekonomi umat Islam khususnya di Selangor selain membela dan menyalurkan bantuan kepada lapan golongan asnaf yang layak sepertimana yang sudah ditetapkan syarak.

Antara lapan asnaf tersebut ialah Fakir (orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya untuk memenuhi keperluan dirinya dan tanggungannya termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain); Miskin (orang Islam yang mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang halal serta layak dengannya tetapi masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan dirinya dan tanggungannya); Amil (orang yang dilantik atau ditauliahkan oleh Sultan atau Naibnya untuk penyelenggaraan hal-hal zakat) dan Muallaf (orang yang baru memeluk Islam iaitu “orang yang dijinakkan hatinya” dengan diberi bantuan supaya mereka teguh mencintai Islam).

Selain itu, asnaf-asnaf lain yang wajib diagihkan bantuan adalah Gharimin (orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat); Fisabililah (tiap-tiap perbuatan atau perkara yang menjurus kepada keperluan dan masalah untuk menegakkan syiar Islam) dan Ibnu Sabil ( Orang Islam yang kehabisan perbelanjaan dalam perjalanan atau orang yang hendak memulakan perjalanan sedangkan ia tidak mempunyai belanja).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.