Selasa, 30 Jun 2009

Krisis air dijangka selesai penghujung Jun

SINAR HARIAN ONLINE


SUNGAI BESAR – Kemelut krisis air di Selangor diharap dapat diselesaikan secara baik melalui rundingan, penghujung Jun ini.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon berkata, sejak kemelut krisis air Selangor bermula awal Februari tahun lepas, isu itu lebih banyak meresahkan rakyat khususnya pengguna air di Selangor.

Menurut beliau, keadaan itu menjadi lebih serius apabila bermula mainan politik dan campur tangan sesetengah pihak yang lebih menjurus kepada kepentingan politik semata-mata.

“Sehingga 22 April lepas, sebanyak 44 rentetan peristiwa berlaku membabitkan pengurusan antara Kerajaan Persekutuan, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Kerajaan Negeri Selangor yang semakin hari menjadi agenda politik yang membingungkan pengguna.

“Persetujuan yang dimuktamadkan pada penghujung 2008 telah ditolak kerajaan negeri dengan beberapa penawaran, rundingan dan harga sehingga isu berlarutan sehingga kini. Bagaimanapun, rundingan pada penghujung Jun ini, diharap dapat menemui satu penyelesaian terbaik kepada krisis air di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Lawatan Mesra ke Pejabat Syabas Wilayah Sabak Bernam di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan Jabatan Operasi Muhammad Darif Idris; Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som dan Penolong Pengurus Besar, Syabas Wilayah Sabak Bernam, Mohd Yunus Othman.

Noriah berkata, dakwaan kerajaan negeri yang menuduh Kerajaan Persekutuan mensabotaj usaha penstrukturan semula air di negeri ini dengan tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kerajaan Persekutuan, sama sekali tidak benar dan amat mengecewakan.

Menurut beliau, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) sendiri, dari segi tanggungjawab sosial prihatin dan memahami isu kepenggunaan dan krisis air di negeri ini.

“Kita tidak mahu ada agenda politik ditimbulkan dengan menggunakan isu ini untuk menyalahkan Kerajaan Persekutuan, dalam hal ini Syabas perlu meneruskan kecekapan dalam mengurus air dan boleh bekerjasama dalam apa juga keadaan tanpa mengikut rentak ‘mempolitikkan isu air’,” katanya.

Kepenggunaan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, katanya, dijangka terus meningkat dengan unjuran peningkatan 4.75 peratus setahun. Sumber air sedia ada tidak lagi berkeupayaan memenuhi permintaan menjelang 2015 nanti.

“Bagi memenuhi keperluan air di kawasan berkenaan, KTTHA telah menandatangani kontrak Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor (PPAMPS) dengan anggaran perbelanjaan hampir RM1.3 bilion untuk membolehkan 1,890 juta liter air dapat disalurkan ke Selangor.

“Langkah ini diambil berikutan keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam menghadapi krisis air yang mungkin dihadapi rakyat negeri ini kelak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.