AP
JAKARTA - Indonesia mengarahkan agensi-agensi pekerjaan republik itu menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berkuat kuasa esok.
Arahan itu dikeluarkan berikutan banyak aduan para pekerja bahawa mereka telah didera oleh majikan, kata Menteri Tenaga Manusia Indonesia, Erman Suparno, hari ini.
Ia kekal sehingga Malaysia menjamin keselamatan mereka, tegas Erman selepas mengadakan mesyuarat rasmi dengan tiga lagi menteri Indonesia di ibu kota Jakarta.
Perbincangan dengan Malaysia akan diadakan pada 15 Julai ini untuk mencari jalan penyelesaian, katanya.
Lebih 300,000 wanita Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia. Kira-kira 3,000 pembantu rumah pula dihantar ke Malaysia setiap bulan yang kebanyakannya ditempatkan melalui agensi pekerjaan khas, jelas beliau.
Pembantu rumah memfailkan lebih 150 aduan setiap bulan dengan pihak berkuasa di Indonesia mendakwa berlakunya penganiayaan, kerja lebih masa, tidak dibayar gaji dan penderaan fizikal di Malaysia.
Menteri Keselamatan Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, semalam berkata, Malaysia akan mencari pekerja pembantu rumah di tempat lain bagi memenuhi keperluan negara.
"Jika Indonesia tidak membenarkan rakyat mereka bekerja sebagai pembantu rumah di sini, atas dasar semangat kejiranan, kami akan menghormati keputusan itu," katanya yang dipetik oleh akhbar The Star.
Kes terbaru yang mendapat perhatian media melibatkan pembantu rumah Indonesia berumur 33 tahun yang telah melarikan diri daripada majikannya bulan ini dan mendakwa disiram dengan air panas dan dipukul.
Polis telah menahan majikannya itu dan akan berhadapan dengan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau disebat jika mahkamah mendapatinya bersalah menyebabkan kecederaan teruk.
"Kami mahu melindungi para pekerja migran kami daripada pencabulan kontrak dan penderaan fizikal," kata Erman kepada wartawan selepas mesyuarat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.