MALAYSIA KINI
Kadar kematian akibat selesema A (H1N1) hanya satu peratus, jauh lebih rendah berbanding kadar 60 peratus bagi wabak selesema burung, kata menteri kesihatan.
Datuk Seri Liow Tiong Lai dengan itu meminta orang ramai supaya jangan bimbang dengan virus A (H1N1) selagi pesakit yang dijangkiti mendapatkan rawatan dalam tempoh 48 jam, lapor Bernama.
"Jika pesakit mendapatkan rawatan selepas tempoh 48 jam, maka mereka berdepan dengan beberapa risiko walaupun kadar kematian hanya satu peratus," beliau dipetik berkata hari ini.
Liow juga menggesa media khususnya televisyen agar tidak menggunakan istilah selesema babi tetapi sebaliknya menggunakan istilah influenza A (H1N1), istilah perubatan yang diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Virus ini bukan disebarkan dari khinzir kepada manusia. Pihak media
perlu memberi perhatian kepada istilah tersebut supaya orang ramai tidak keliru," katanya.
Sementara itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) meminta masyarakat Islam di negara ini mengadakan solat hajat serta doa tolak bala bagi memohon perlindungan daripada Allah dalam menghadapi wabak ini.
Setiausaha PUM Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, sehubungan
itu, pengurusan masjid serta surau di seluruh negara diminta mengadakan solat hajat di kawasan masing-masing, lapor agensi berita yang sama.
"PUM juga menyarankan agar masjid menggunakan waktu khutbah Jumaat untuk memberi maklumat dan ingatan kepada masyarakat tentang virus influenza A(H1N1) ini," katanya dalam satu kenyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.