Sabtu, 2 Mei 2009

WHO beri amaran wabak maut H1N1 belum tamat

AP


BANDARAYA MEXICO: Pegawai perubatan atasan Mexico menyuarakan keyakinan penularan wabak selesema influenza A atau selsema babi sudah semakin perlahan di negara itu, namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran tiada bukti wabak terburuk global itu sudah berakhir.

Kes selsema babi disahkan di Amerika Syarikat semalam meningkat kepada 130 orang ketika beratus sekolah di seluruh negara menutup pintunya dan krisis itu malah sampai ke Rumah Putih, di mana seorang pembantu kepada setiausaha tenaga yang membantu menguruskan lawatan Presiden ke Mexico sebelum ini jatuh sakit.

Menteri Kesihatan Eropah berazam untuk bekerja keras dengan pengeluar ubatan untuk mempercepatkan pengeluaran vaksin, namun pihak berkuasa kesihatan Amerika mencadangkan proses menanam cacar tidak dapat dimulakan sehingga musim luruh.

Setiausaha Kesihatan Mexico, Jose Angel Cordova memberitahu The Associated Press, kes baru sudah berkurangan dan kadar kematian hampir tidak berganjak selama beberapa hari. Beliau berkata beberapa hari akan datang mungkin kritikal dalam menentukan sama ada jangkitan virus itu sudah berkurangan.

"Hakikat bahawa kita mempunyai angka harian dijangkiti yang stabil, malah menurun, menjadikan kami lebih optimis," katanya.

Kementerian Kesihatan yang sebelum itu mengatakan 168 orang dipercayai maut akibat selesema babi di Mexico, kelmarin hanya mengesahkan 12 daripada kematian itu dan tidak menyatakan berapa ramai disyaki dijangkiti.

Pegawai atasan WHO bagaimanapun, menyuarakan amaran agar berhati-hati dalam memutuskan wabak itu sudah mula mencapai kemuncaknya.

"Bagi sesuatu wabak untuk naik atau turun dalam sesebuah negara memang dijangka. Jika tidak, ia sesuatu yang amat luar biasa," kata Dr Keiji Fukuda di Geneva. "Saya berharap kami dapat melihat lebih banyak data apa yang berlaku di sana."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.