Oleh RASIDAH MISNI
KUALA LUMPUR - Orang ramai mendesak Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (PPPM) menurunkan harga runcit ayam di pasaran yang kini membebankan mereka.
Dalam tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Pasar Pudu di sini hari ini, orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati dengan kenaikan harga runcit ayam yang diumumkan PPPM semalam.
Seorang tukang masak, Ahmad Saifulrizan Ahmad Zabidi, 29, berkata, harga runcit ayam yang tidak menentu sejak kebelakangan ini mengelirukan rakyat.
"Kadang-kadang kenaikan harga ayam terlalu tinggi dan berubah- ubah seolah-olah tiada harga pasaran yang tetap.
"Kami berharap kerajaan akan menetapkan harga siling ayam kepada pemborong kerana peniaga akan menjual ayam mengikut harga daripada pemborong," katanya.
Semalam, PPPM mengumumkan kenaikan harga ayam daging di seluruh negara antara 40 sen dan 60 sen sekilogram atas alasan faktor permintaan dan bekalan semasa.
Harga runcit ayam siang berserta kaki, kepala, hati dan hempedal naik kepada RM6.15 sekilogram berbanding RM5.65 sekilogram manakala harga runcit ayam siang tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal ialah RM6.90 sekilogram daripada RM6.30 sekilogram.
Seorang suri rumah, Jurinah Abu Bakar, 50, berkata, kenaikan harga runcit ayam tidak sepatutnya berlaku kerana ayam daging bukan barangan import dan tidak perlu dibayar cukai.
"Harga ayam kadang-kadang melambung, esok jatuh pula. Kenapa tidak diselaraskan atau ditetapkan saja? Harap pihak berkuasa tetapkan harga ayam di pasaran seperti harga daging yang tidak berubah," katanya.
Tambahnya, tindakan menaikkan harga ayam itu tidak sewajarnya berlaku tambahan pula ketika situasi ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mat Isa Mohd. Wadi, 33, berkata, pengguna sudah letih dengan putaran kenaikan barangan keperluan seperti yang berlaku sebelum ini.
"Keadaan ini menjejaskan ekonomi rakyat lebih-lebih lagi pelanggan seperti kami yang masih dibayangi kenaikan harga beberapa barangan sebelum ini," katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di Pasar Pudu mendapati peniaga masih mengekalkan harga runcit ayam antara RM5.50 dan RM5.80 sekilogram.
Peniaga-peniaga tersebut mendakwa berbuat demikian kerana mengikut kehendak dan permintaan pelanggan.
Seorang peniaga, Zulkiflie Zainal, 30, berkata, memang tidak dinafikan harga ayam daging sentiasa berubah-ubah.
"Walaupun harga ayam sekejap naik dan sekejap turun, ia tidak menjejaskan perniagaan. Kami terpaksa akur dengan harga pasaran dan mengutamakan permintaan pelanggan.
"Kami tidak sesuka hati menaikkan harga runcit ayam kerana takut pelanggan lari," katanya.
Rakannya, Khairudeen Jamaludin, 34, yang turut sependapat berkata, mereka tetap menjual ayam daging pada harga asal sejak dua minggu lalu.
"Kami masih menjual ayam daging pada harga tetap iaitu RM5.80 sekilogram kerana jika kami naikkan harga ayam, permintaan pelanggan akan berkurangan," katanya.
Seorang lagi peniaga, Lukman Hakim, 45, berkata, walaupun pemborong mengenakan harga borong RM4.70 sekilogram kepada peniaga namun mereka masih mengekalkan harga asal
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.