Ahmad Lutfi Othman
TRAGEDI tangkapan lapan wakil rakyat Pakatan Rakyat Perak termasuk Speaker Dun V Sivakumar, bersama 11 yang lain, pagi Selasa, 26 Mei atas dakwaan menghadiri perhimpunan haram di depan Wisma DAP, Ipoh, mengesahkan lagi bahawa bahang krisis politik semakin membara dan tidak mudah dipadamkan melalui keputusan Mahkamah Rayuan minggu lepas.
Enam Adun lain yang ditahan ialah Keshwinder Singh (Malim Nawar), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Chah Lih Kang (Teja), Leong Mee Meng (Jalong), Thomas Su (Pasir Pinji) dan Lim Pek Har (Menglembu). Turut ditahan, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran.
Polis diperalatkan
Pihak polis nyata diperalatkan apabila pelancaran mogok lapar dan puasa sunat bagi mendesak pembubaran Dun Perak itu dihadapi secara kekerasan. Begitu ramai anggota keselamatan dikerahkan, termasuk pasukan FRU dan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh - selain polis berpakaian biasa - bagi memastikan sebarang perhimpunan berbaju hitam untuk menggesa Dun dibubarkan, dicantas lebih awal.
Seawal jam 6.30 pagi, lima pekerja syarikat pengurusan acara yang memasang khemah dan belon udara besar dengan tulisan "Bubar DUn" ditahan lebih awal. Belon tersebut turut dirampas. Kanopi itu juga diruntuhkan.
Tidak jelas apa alasan keselamatan pihak polis melakukan tindakan agresif dan provokatif itu, jika bukan diarahkan pihak berkepentingan Umno-BN. Ia diadakan di premis persendirian, dan langsung tidak menganggu ketenteraman awam, alasan lazim yang digunakan polis untuk mewajarkan tindakan represif mereka.
Walaupun Wisma DAP - dan tidak jauh dari itu Pejabat Perhubungan PAS Perak - terletak di hadapan Bangunan SUK, namun lokasinya langsung tidak menyebabkan lalu-lintas terhalang. Tidak tahulah kalau ada pihak yang sakit mata memandang aksi protes pemimpin Pakatan Rakyat itu.
Rampasan kuasa
Jika diukur jumlah kehadiran, ia tidaklah seramai mana, mungkin hanya sekitar 50 orang, namun Umno-BN yang melakukan rampasan kuasa awal Februari lalu terbukti takut dengan bayang-bayang sendiri. Meskipun didesak dari segenap penjuru agar Dr Zamry Abdul Kadir menghadap Sultan mohon dibubarkan Dun, mereka tetap berdegil.
Senario ini mudah difahami. BN begitu gentar untuk mendapatkan semula mandat baru rakyat kerana yakin mereka pasti ditolak, bahkan mungkin lebih teruk berbanding keputusan pilihan raya umum April 2008.
Pelancaran mogok lapar itu, yang sepatutnya disempurnakan di bawah khemah khas, terpaksa dipindah ke tingkat satu Wisma DAP. Menteri Besar, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin juga dihalang pihak polis daripada bersalaman dengan orang ramai yang hadir.
Ya, aneh dan pelik ... pakai baju hitam (dalam himpunan Bersih dulu, baju kuning) salah, dirikan kanopi salah, nyalakan lilin salah, berkumpul salah, bergambar depan jurufota media salah, berjabat salam pun tidak dibenarkan juga!
Kes pecat ketua kampung
Lebih menjolok mata apabila tangkapan dibuat, bermula dengan Sivakumar, ketika pemimpin-pemimpin Pakatan secara beramai-ramai berjalan menuju ke kereta masing-masing, selepas turun dari pejabat DAP, difahamkan untuk ke mahkamah tinggi bagi menyaksikan satu saman yang difailkan terhadap kerajaan BN yang memecat ketua-ketua kampung.
Mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana enggan mematuhi arahan polis untuk bersurai walaupun setelah diberi amaran beberapa kali. Mudahnya pihak polis melakukan tangkapan walaupun mereka menghadapi kesukaran berbuat demikian untuk menangani kes jenayah tegar yang lain!
Pada sebelah malamnya, di lokasi sama, sekitar jam 8.45, dua lagi ditahan kerana menghadiri perhimpunan candlelight vigil, yang menandakan "demokrasi sudah mati dan dikuburkan oleh Umno-BN". Nizar bersama dua pemimpin kanan DAP, Nga Kor Ming dan Ngeh Khoo Ham, serta 30 yang lain hadir.
Episod seumpama ini dijangka akan berterusan dan melebar ke seluruh negara. Amarah rakyat sukar dibendung. Mereka yang menyaksikan dari dekat peristiwa hitam yang mencacatkan amalan demokrasi di negara ini tentu tidak duduk diam.
Apa jadi kes rasuah dua bekas Exco?
Di Penanti misalnya, isu rampasan kuasa ini tetap menjadi tumpuan. Bermula dengan "penculikan" dua bekas Adun KeADILan, Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi - yang sebelumnya dituduh rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM10 juta - juga "kehilangan" penuh misteri Adun Bota yang menyertai KeADILan, Nasaruddin Hashim, yang kemudiannya tiba-tiba mereka muncul dalam sidang akhbar di Putrajaya bersama Najib Razak, rakyat diperingatkan tentang kisah sebenar yang mendasari konflik di Perak.
Kesahihan SPR yang memutuskan tidak berlaku kekosongan kerusi Dun Changkat Jering dan Behrang, walaupun diputuskan sebaliknya oleh Speaker V Sivakumar, juga masih tergantung di mahkamah. Ada proses yang belum diselesaikan di sana. Misteri (begitu banyaknya misteri) dakwaan rasuah ke atas Osman dan Jamaluddin pun belum terongkai.
Tepat seperti kata Nizar, dalam keadaan mahkamah sudah memutuskan Zamry adalah menteri besar yang sah, justeru untuk menunjukkan ketelusan dan keikhlasannya, maka Adun Pangkor itu harus berani mendapatkan semula mandat rakyat dengan menghadap sultan bagi memohon Dun dibubarkan. Jangan jadikan alasan ia di bawah bidang kuasa raja memandangkan sultan tidak mampu memulakan tindakan membubarkan Dun selagi mana tidak dimulai oleh inisiatif menteri besar.
Jalan keluar sudah terang dan nyata. Umno-BN hanya akan dilabelkan "bacul dan pengecut", apabila berselindung di sebalik mahkamah dan istana, serta memperalatkan pasukan keselamatan, jika terus berdalih mengelak dari berusaha membubarkan Dun. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.