Sabtu, 30 Mei 2009

Ramai lagi suspek diburu

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Polis yakin menahan lebih ramai along yang terbabit dalam kes merantai dan mengurung tiga lelaki di dua 'lokap' tingkat bawah rumah kedai di Jalan PBS 14/2, Taman Perindustrian Bukit Serdang, dekat sini, dalam jangka masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata siasatan awal mendapati sindiket itu mempunyai anggota dan rangkaian yang besar.

"Berdasarkan siasatan kita tidak menolak kemungkinan ada mangsa dikurung di tempat lain. Kita menggiatkan operasi memburu," katanya di sini, semalam.

Polis menahan reman tiga along termasuk seorang dipercayai suspek utama. Mereka ditahan sebelum dan selepas polis membebaskan tiga mangsa Rabu lalu.

Khalid berkata, along terbabit disiasat bagi kesalahan pemerasan dan mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengambil tindakan terhadap 203 kes along sehingga 17 Mei lalu.

Polis pula memantau tiga kes penculikan besar di beberapa kawasan sekitar ibu kota ini yang disebabkan along.

Kementerian itu dalam kenyataannya semalam berkata, satu Jawatankuasa Kerja dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Mahmood Adam ditubuhkan dan dianggotai semua agensi keselamatan untuk menyemak kes orang awam dan along.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.