BERNAMA
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak memihak kepada sesiapa atau mengambil apa-apa pendirian berhubung kemelut yang melanda Parti Progresif Penduduk (PPP).
Muhyiddin pagi semalam menerima kunjungan Presiden PPP Datuk M.Kayveas di pejabatnya untuk mendengar penjelasan Kayveas berhubung masalah yang melanda parti berkenaan.
"Ya, Kayveas ada berjumpa saya dan jelaskan apa yang berlaku dalam parti dan saya dengar...dan saya tidak ambil apaapa pendirian," katanya kepada pemberita ketika selepas mengadakan perjumpaan dengan tujuh pertubuhan Cina mengenai isu pendidikan di pejabatnya di sini.
Muhyiddin berkata sebagai Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), penting baginya untuk mengetahui status parti itu dan bagaimana pemimpin parti berkenaan dapat menyelesaikan masalah yang wujud.
Ahad lepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah yang sebelum ini dipecat sebagai anggota Majlis Tertinggi PPP, dipilih sebagai presiden baru parti dalam satu mesyuarat agung luar biasa parti yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Muhyiddin berkata beliau juga akan bertemu dengan Murugiah untuk mendengar penjelasan daripada pihaknya.
"Bila pertemuan itu tak tahu lagi...mungkin dalam sehari dua lagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.