Khamis, 28 Mei 2009

Chin Peng rakyat Britain: Prof Khoo

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Chin Peng bukan rakyat Malaysia, sebaliknya bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu adalah rakyat Britain, berdasarkan fakta sejarah kelahirannya.

Fakta mengejutkan itu didedahkan pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim, yang berkata Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan pada 1923 yang ketika itu berada dalam daerah Dinding.

Beliau berkata, daerah Dinding ketika itu adalah sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat yang juga adalah tanah jajahan British.

"Dinding sejak 1826 adalah sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat dan hanya diserahkan kepada Perak pada awal 1930-an. Negeri-Negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura sejak 1867 sehingga 1941 adalah tanah jajahan British.

"Mengikut fakta sejarah itu, maka Chin Peng adalah rakyat Britain dan bukannya rakyat Malaysia," katanya ketika diminta mengulas pandangan beberapa pihak yang menyokong hasrat bekas pemimpin PKM itu untuk tinggal di Malaysia.

Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan, meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali semula ke negara ini atas dasar kemanusiaan kerana beliau bukan lagi ancaman kepada keselamatan negara.

Kenyataan Teng itu menerima tentangan keras daripada pelbagai pihak terutama persatuan-persatuan bekas anggota polis dan tentera yang mana sanak-saudara dan rakan seperjuangan terbabit secara langsung dan menjadi mangsa kekejaman komunis terutama ketika era darurat antara 1948 hingga 1960.

Cubaan Chin Peng untuk menetap di negara ini melalui sistem perundangan juga gagal dan ditolak mahkamah pada 30 April lalu.

"Kalau Chin Peng nak balik Britain mungkin tiada masalah. Tapi jika nak balik ke Malaysia, kena buktikan yang beliau rakyat Malaysia," katanya yang menegaskan ramai pihak beranggapan hanya orang Melayu yang dibunuh komunis semasa darurat sedangkan hakikatnya ramai Cina dan India yang turut dibunuh.

Beribu-ribu orang awam dan anggota pasukan keselamatan terbunuh semasa Chin Peng dan rakan-rakannya melancarkan perang gerila dari hutan dari 1948 sehingga kepada peletakan senjata mereka pada 1989.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia bagi mengelakkan rasa tidak puas hati terutama kepada ahli keluarga mereka yang terkorban semasa era darurat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.