Khamis, 28 Mei 2009

AMK Selangor: Isu Chin Peng Adalah Cerita Lapuk

TV ANTARA


Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membidas pihak-pihak tertentu yang didakwa cuba mempolitikkan isu kembalinya ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) berhubung saranan supaya bekas pemimpin PKM, Chin Peng dibenarkankan pulang ke Malaysia.

Ketuanya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, ia adalah cerita lapuk yang sudah lama selesai dan tidak perlu ditimbulkan semula.

Menurutnya, Umno Barisan Nasional cuba mengembalikan sokongan rakyat setelah isu-isu mengenai ketuanan Melayu, Dasar Ekonomi Baru, sensitiviti umat Islam, liberalisasi perdagangan dan konsep Satu Malaysia, gagal menambat sokongan rakyat.

"Amat jelas isu ini sudah lama selesai dan tidak perlu ditimbulkan semula lagi.

"Kini rakyat Malaysia lebih bijak dan pintar dalam menganalisis sesuatu isu melalui perkembangan semasa revolusi maklumat global," katanya dalam satu kanyataan hari ini.

Sebaliknya, kata Khairul Anuar, AMK Selangor menggesa kerajaan pimpinan Najib agar memberikan tumpuan dan fokus khas kepada pemulihan dan pembaharuan ekonomi negara.

"Laporan terkini berkenaan KDNK negara serta data dan statistik ekonomi negara yang tidak memberangsangkan, perlu diambil perhatian dan tindakan perlaksanaan yang pantas," katanya.

AMK Selangor juga mempertikaikan tindakan pantas pihak kerajaan yang didakwanya begitu cepat meminta bantuan Interpol untuk mengesan dan membawa pulang Raja Petra Kamaruddin.

"Sedangkan isu akuan bersumpah (penyiasat persendirian) P Balasubramaniam seolah-olah tiada berita dan perkembangan terkini," katanya.

Sehubungan itu, Khairul Anuar menggesa kerajaan dan pihak polis supaya membawa pulang seberapa segera Balasubramaniam bagi membantu siasatan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu melalui akuan bersumpahnya yang bertarikh 1 Julai 2008.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.