Jumaat, 29 Mei 2009

Aminah dakwa dapat sokongan ahli Wanita Umno

Muda Mohd Noor


Calon bebas dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, Aminah Abdullah mendakwa ahli Wanita Umno turut memberi sokongan kepadanya.

"Mereka kata, mereka sokong kak Min tetapi tak tahulah sama ada mereka akan mengundi Kak Min," katanya yang menggunakan lambang kunci.

Aminah juga mendakwa, ahli-ahli Wanita Umno gembira kerana beliau bertanding menentang calon PKR dalam pilihanraya kecil tersebut.

penanti by election aminah abdullah pc 280509 01"Ada yang mengucapkan selamat berjaya kepada saya dalam pilihanraya kecil itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Bagaimanapun, katanya, ada segelintir penyokong PKR yang tidak boleh menerimanya walaupun beliau bertanding atas tiket bebas.

Aminah yang juga bekas ketua Wanita PKR negeri berkata, ada antara mereka yang mendakwa tidak mengenalinya dan tidak mahu menerima risalah kempen yang diedarkan.

Diminta mengulas dakwaan Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang menggelar dirinya Minah Ronggeng, Aminah berkata:

"Kak Min sedikit pun tidak kecil hati kerana Azmin sendiri yang mengajar supaya kita tidak membantai orang lain.

"Saya terima dengan senang hati, sedikitpun tidak kecil hati," katanya.

Minta SPRM umum segera

Sementara itu, Aminah Abdullah meminta siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan segera hasil siasatan berhubung dakwaannya cuba disogok wang tunai dan jawatan timbalan ketua menteri oleh PKR.

"Kalau umum lepas pilihanraya, kena buat pilihanraya sekali lagi.

"Nak buat piliharaya baru, kena duit lagi, jadi eloklah keputusan diumumkan sebelum hari mengundi Ahad ini," katanya.

Isnin lalu, beliau mendakwa ditawarkan ganjaran wang tunai RM80,000 serta jawatan timbalan ketua menteri (TKM) I Pulau Pinang oleh PKR.

Beliau mendakwa PKR menawarkan jawatan TKM I jika menang pilihanraya berkenaan pada 31 Mei ini, dan kembali menyertai parti itu.

Aminah turut mengemukakan bukti berbentuk rakaman audio cakera padat untuk menyokong dakwaannya.

Beliau berkata, SPRM telah selesai mengambil kenyataan darinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.