MALAYSIA KINI
Badan yang menamakan dirinya Gagasan Melayu Perak (GMP) telah membuat laporan polis terhadap Malaysiakini berhubung satu artikel yang tidak pernah disiarkan oleh lamanweb tersebut.
Dalam laporan polis itu, Presiden GMP, Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail mendakwa Malaysiakini telah menyiarkan satu artikel yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Artikel tersebut, yang bertajuk ‘Raja Nazrin defends monarchy against ridicule', yang didakwa disiarkan oleh Malaysiakini pada hari Selasa.
Apabila diperiksa, tidak ada artikel seumpama itu yang disiarkan oleh lamanweb berkenaan.
Bahagian bahasa Melayu bagaimanapun menyiarkan berita tersebut dari Bernama, tetapi ianya disiarkan pada 19 April.
Mohd Hilmi (kanan) dan badan pimpinannya itu membuat laporan tersebut di balai polis Sungai Senam dekat Ipoh pada jam 5 petang semalam.
Menurut laporan Bernama, Mohd Hilmi memberitahu pemberita bahawa laporan polis dibuat kerana GMP menganggap berita yang disiarkan oleh lamanweb itu bersifat kurang ajar dan biadap terhadap institusi beraja di negeri itu.
Beliau juga dilaporkan berharap Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan mengambil tindakan terhadap lamanweb itu kerana menyalahgunakan teknologi maklumat sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesannya terhadap keselamatan negara.
'Diberitahu oleh kakitangan'
Malaysiakini menghubungi GMP pagi ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung laporan polis tersebut dan Mohd Hilmi memberitahu yang beliau tidak tahu yang Malaysiakini tidak menyiarkan artikel dalam bahasa Inggeris itu.
Menurutnya, beliau tidak tahu tentang artikel itu dan dimaklumkan mengenainya oleh kakitangannya, sebelum membuat laporan polis tersebut.
Bila tanya sama ada beliau sedar bahawa laporan polis yang dibuatnya itu boleh mencemarkan reputasi Malaysiakini, Mohd Hilmi "Bukankah Malaysiakini sama dengan Malaysia Today dan blog-blog lain?".
Malaysiakini telah meminta Mohd Hilmi memohon maaf secara terbuka kerana membuat tuduhan palsu itu.
Malaysiakini juga sedang menimbang kemungkinan mengambil tindakan terhadap Mohd Hilmi dan GMP.
GMP mohon maaf pada Malaysiakini
Kira-kira empat jam selepas menghubungi Mohd Hilmi, penasihat undang-undang GMP, Nor Ali Nordin menghubungi Malaysiakini untuk memohon di atas kesilapan tersebut.
Katanya, Mohd Hilmi telah bercakap dengannya dan mereka ingin memohon maaf kepada Malaysiakini di atas kesilapan menamakan laman web tersebut dalam laporan polis semalam.
Nor Ali juga berkata, beliau dan anggota GMP yang lain akan ke balai polis Sungai Senam jam 3 petang ini untuk memperbetulkan laporan polis semalam.
Katanya, mereka akan mengeluarkan nama Malaysiakini dari laporan tersebut dan menggantikannya dengan laman web yang menyiarkan laporan berkenaan.
Beliau berkata berkata, GMP telah memaklumkan kepada akhbar-akhbar harian tempatan mengenai kesilapan tersebut.
Nor Ali berkata, akhbar-akhbar berkenaan telah memberi jaminan akan menyiarkan pembetulannya.
Bernama dan Utusan Malaysia , adalah antara media yang menyiarkan berita mengenai laporan polis yang dibuat terhadap Malaysiakini itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.