Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusuf disarankan supaya menjawat posisi Pengerusi Pemilihan Umno sahaja apabila sering dilihat menyebelahi Umno.
Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar semasa mengulas pelbagai isu yang membabitkan SPR mutakhir ini terutamanya dalam penangguhan pengumuman pilihan raya kecil Dun Penanti dan isu barung panas.
"Saya ingat lebih baik Pengerusi SPR ini jadi Pengerusi Pemilihan Umno, pasti Najib (Dato' Seri Najib Tun Razak) kekal jadi Presiden Umno seumur hidup," kata Mahfuz.
Dalam isu memansuhkan barung panas parti-parti politik, Mahfuz melihat tindakan SPR itu tidak rasional dan tidak membantu kelancaran perjalanan pembuangan undi.
Barung-barung panas disediakan parti politik yang bertanding hanyalah untuk membantu SPR dalam menyelesaikan perjalanan pembungan undi dengan lebih baik dan segera, katanya.
"Kita tak kisah jika SPR nak jarakkan lagi barung, jika nak mansuhkan itu akan hanya menutup ruang parti politik untuk memastikan penyokong parti masing-masing ada akses kepada maklumat tentang saluran mengundi," katanya.
Jika tiadanya barung panas, pastinya kelewatan dan kesesakan berlaku di barung SPR dimana pengundi akan bersesak menggunakan barung SPR sahaja, katanya.
Mengulas isu dolak halik SPR dalam mengumumkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi kerusi Dun Penanti, Mahfuz mengecam tindakan SPR itu.
"Apa yang dibuat SPR memang tidak rasional seperti dalam keputusan nak tentukan bila penamaan calon Dun Penanti,
"SPR berdolak-dalih, tunggu SPRM buat keputusanlah dan suruh Fairuz Khairuddin (bekas Adun Penanti) tarik balik keputusan dan macam-macam lagi, ini apa ini?," katanya kesal.
Justeru, beliau mengulangi cadangan agar Pengerusi SPR memegang jawatan Pengerusi Pemilihan Umno sahaja bagi memastikan Najib kekal selaku Presiden Umno selamanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut mempersoalkan tindakan SPR mengambil masa panjang untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian di Penanti.
Sikap SPR itu membayangkan betapa tahap kecekapan dan professionalisma badan tersebut sangat dipersoal dan mengurangkan keyakinan rakyat, katanya.
Guang Eng berharap SPR akan lebih efisien, bebas, adil dan bersikap profesional dalam melaksanakan pilihan raya kecil.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Saifuddin Nasution Ismail pula melihat keputusan SPR itu bertentangan dengan ketetapan yang dibuat pada pilihan raya umum 2004.
ujar Saifuddin, pada tahun 2004 (sebelum pilihan raya), SPR tidak membenarkan pondok panas tetapi pada pagi hari mengundi, BN (Barisan Nasional) telah mendirikan pondok panas sedangkan Pakatan Rakyat patuh dengan peraturan itu.
Sebaliknya apabila pembangkang meminta penjelasan mengenai perubahan ketika itu, SPR mendakwa peraturan itu diubah pada pagi pilihan raya tersebut, kata Saifuddin lagi.
Bagi Saifuddin, SPR perlu konsisten dalam hal ini dan selari dengan peranan SPR sebagai badan yang menjalankan pilihan raya secara bersih, telus dan adil.
Saifuddin juga melihat cadangan menghadkan bilangan calon pula tidak wajar dilakukan SPR kerana pilihan raya adalah hari pesta demokrasi kepada rakyat.
Mengulas isu yang sama, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw berpendirian SPR menggunakan faktor kesesakan bagi melarang kewujudan pondok panas dan mengehadkan jumlah pengundi tidak perlu timbul.
Beliau percaya pihak polis mampu mengawal keadaan pada hari penamaan calon dan hari mengundi. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.