Sabtu, 25 April 2009

Pas sempadan boleh dikeluarkan pada hari cuti

BERNAMA


KANGAR: Pas sempadan, dokumen yang dikeluarkan kepada rakyat negara ini dan penduduk tetap yang tinggal di negeri bersempadan dengan Thailand kini boleh dikeluarkan pada hari cuti hujung minggu di pos Imigresen Wang Kelian dan Padang Besar.

Jabatan Imigresen Perlis dalam kenyataan hari ini berkata pas sempadan itu boleh dikeluarkan mulai sekarang pada setiap Sabtu dan Ahad antara jam 8 pagi dan 1 petang.

Sebelum ini orang ramai boleh memohon pas sempadan hanya pada hari bekerja tetapi mulai sekarang mereka boleh berbuat demikian pada hujung minggu di kedua pos Imigresen yang terletak di pintu sempadan Malaysia-Thailand itu.

Sementara itu mengikut laman web Jabatan Imigresen Malaysia, pas sempadan dikeluarkan kepada rakyat Malaysia dan penduduk tetap Malaysia keturunan Thai yang menetap lebih tiga tahun di Kelantan, Perlis, Kedah atau Perak.

Tempoh sah laku pas sempadan itu ialah enam bulan dari tarikh dikeluarkan untuk beberapa kali perjalanan dan tidak boleh dilanjut sah lakunya.

Syarat permohonan pas sempadan antara lain ialah mengisi borang Im.92, menyediakan dua keping gambar berukuran 3.5cm X 5cm dan bayaran RM10.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.