BERNAMA
KUALA LUMPUR:PAS menyifatkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menarik balik larangan penerbitan sementara dua akhbar, Harakah dan Suara Keadilan sebagai petanda yang mampu menyuburkan semangat demokrasi di negara ini.
Ketua Pemuda PAS Pusat Sallahuddin Ayob berkata langkah menarik balik larangan itu dilihat mengembalikan kepada yang hak yang sememangnya diberikan sebelum ini serta ia sememangya sepatut dilakukan oleh Najib yang baru memegang jawatan itu.
"Adalah diharapkan jika Perdana Menteri ingin menyuburkan lagi semangat demokrasi yang mungkin menjadi perkara yang dilakukan hari ini, kita berharap supaya akhbar rasmi PAS, Harakah dan akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan diberikan permit harian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Walaupun Najib tidak menyebut secara khusus nama dua akhbar terbabit dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri malam ini tetapi diketahui umum bahawa Harakah dan Suara Keadilan telah digantung sementara penerbitannya.
Harakah dan Suara Keadilan digantung serta-merta selama tiga bulan mulai 23 Mac lepas.
Salahuddin berkata tindakan Najib itu juga mampu menaikkan rating negara sebagai sebuah negara yang tinggi indeks demokrasi di dunia.
Mengenai tindakan pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kajian semula akta itu, Salahuddin berkata sekiranya ruang yang terbentang sekarang ini digunakan sepenuhnya, ia merupakan satu harapan baru untuk mendapatkan impak yang lebih baik dalam menghapuskan ISA.
"Pembebasan 13 orang tahanan itu juga adalah satu permulaan ke tahap ISA dihapuskan. Akta yang sedia ada sudah cukup untuk menjaga keselamatan negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.