MSTAR ONLINE
IPOH: Pakatan Rakyat sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk memulau sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 7 Mei ini sebagai tanda protes, kata Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming.
Jelas beliau, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sedang mendengar kes bagi menentukan siapa yang merupakan Menteri Besar sah bagi Perak iaitu sama ada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan ataupun Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional (BN).
Kes membabitkan Nizar dan Zambry yang kini merupakan Menteri Besar telah ditetapkan untuk didengar pada 5 dan 6 Mei ini.
"Pakatan akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan perkara ini (sama ada memulau sidang 7 Mei)," kata beliau pada sidang media hari ini.
Sambil menggesa kerajaan negeri pimpinan BN supaya menangguhkan sidang DUN sementara menunggu keputusan kes, Nga berkata, langkah mengadakan sidang akhbar adalah perbuatan tidak menghormati sistem kehakiman.
Nga yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri berkata, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri masih belum meneima agenda sidang minggu depan itu.
"Di bawah suasana normal, agenda perlu diedarkan kepada kami dalam tempoh dua minggu sebelum sidang," katanya sambil menambah, beliau ada dimaklumkan bahawa BN akan mengemukakan usul untuk menggugurkan Speaker V. Sivakumar.
Selain itu, Nga berkata, keputusan BN memanggil sidang DUN juga bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pada 1 Mac bahawa sidang tidak seharusnya diadakan sehingga mahkamah memutuskan status kerajaan negeri.
Najib yang juga Perdana Menteri mesti menjelaskan pendiriannya memandangkan orang bawahannya bertindak bertentangan dengan kenyataan beliau, kata Nga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.