Salmah Mat Husain
KOTA BHARU - Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa berharap media tempatan dan luar negara menghentikan tindakan memburukkan rumahtangga Tengku Temenggong Kelantan.
"Ini kerana hubungan baginda dengan isterinya kelihatan sentiasa mesra sejak berkahwin tahun lalu.
"Sebelum ini pasangan diraja tersebut sering hadir pada program anjuran pihak istana dan kerajaan negeri. Jadi tidak timbul lagi ia berlaku sebagaimana dilaporkan sesetengah media sebelum ini," ujarnya pada majlis kenduri sempena perkahwinan anaknya di sini, semalam.
Tengku Muhammad Fakhry Petra bersama isteri, Cik Puan Temenggong yang berasal dari Indonesia turut berangkat ke majlis kenduri di rumah Husam di Kampung Kota kira-kira jam 1.30 petang.
Sebanyak lima ekor lembu dan tiga kambing dikorbankan bagi jamuan orang ramai yang datang bertali arus.
Kenduri kesyukuran itu diadakan sempena menyambut menantu iaitu isteri kepada anak sulungnya Ahmad Syafi', 21 - Indah Purnama Sari, 19 juga berasal dari Indonesia.
Sebelum ini ibu kepada Cik Puan Temenggong, Manohara Odelia Pinot, Daisy Farajina mendakwa sebagaimana disiarkan media di Indonesia anaknya menghadapi masalah rumahtangga.
Sehubungan itu Husam yang juga Naib Presiden PAS berharap pihak tertentu supaya tidak lagi menyebar berita negatif terhadap pasangan terbabit.
"Biarkan pasangan diraja berkenaan hidup dengan aman dan melayari bahtera rumah tangga mereka tanpa campurtangan pihak lain," katanya.
Sementara itu, anak Husam dan pasangannya diijabkabul di Banten, Tangrang, Jakarta pada Disember lalu.
Indah Purnama Sari anak kedua daripada tujuh adik beradik merupakan anak kepada pegawai kerajaan Republik Indonesia, Haji Didin Solahuddin Aep Hasbuna.
Pada majlis itu Tengku Temenggong kelihatan mesra dan sesekali ketawa bersama isterinya.
Pasangan diraja itu sempat meraikan pengantin dan beramah mesra dengan Husam dan isterinya, Datin Rohana Abdul Rahman serta tetamu lain. - mj _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.