BERNAMA
PADANG BESAR: Sebanyak 814 kurakura dan 160 ekor ular tedung senduk yang cuba diseludup ke Thailand dirampas dalam satu pemeriksaan Kastam di pintu sempadan di sini semalam.
Pengarah Kastam Perlis Mohd Isa Endot berkata rampasan itu dilakukan pukul 12.30 tengah hari di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar apabila memeriksa sebuah lori yang menghala ke Thailand.
Ekoran rampasan itu, seorang pemandu lori warga Thailand berumur 30 tahun ditahan untuk siasatan lanjut setelah dia gagal mengemukakan dokumen yang berkaitan.
Mohd Isa berkata penyeludup terbabit cuba mengaburi pandangan pihak berkuasa dengan meletakkan kurakura dan ular senduk itu di sebalik 2,300 kilogram bawang putih yang dibawa bersama.
Tindakan membawa bawang putih dalam jumlah yang besar itu juga dipercayai bertujuan mengelak anggota penguatkuasa mengesan kurakura dan ular yang berbau hanyir kerana bau bawang lebih kuat.
Katanya pemandu lori itu boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengeksport barang larangan tanpa permit yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau kedua-duanya.
Mohd Isa berkata kes itu adalah yang pertama membabitkan rampasan kurakura dan ular tahun ini.
Hasil rampasan itu diserah kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.