Sabtu, 4 April 2009

Isu tanah: Penduduk kesal dipermainkan BN selama 50 tahun

Mohd Sabri Said


BUKIT SELAMBAU - Penduduk Pekan Bukit Selambau berterima kasih pada Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah kerana sudi menyelesaikan masalah hak milik tanah yang selama ini menjadi mainan politik Kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 50 tahun lalu.

Rata-rata yang ditemui tersenyum lebar dan lega kerana apa yang diinginkan sejak puluhan tahun kini akan menjadi kenyataan.

Menurut mereka, setiap kali menjelang pilihan raya umum terdapat beberapa orang petugas datang mengukur keluasan tanah kononnya akan dijadikan tanah berstatus TOL dan kekal berbanding selama ini dibiarkan tanpa sebarang jawapan walhal sudah beberapa kali penduduk terbabit mengisi borang permohonan.

Seorang penduduk,Lim Boh Leong,70, berkata, kini baru terasa hidup terbela kerana kesudian Kerajaan Kedah melaksanakan tanggungjawab untuk rakyat.

"Dulu Kerajaan BN asyik mempermainkan penduduk ketika sampai tarikh pilihan raya umum. Ada-ada saja orang akan ukur dan bila selesai kempen pilihan raya mereka pun hilang, " jelasnya lagi.

Sementara itu, rakannya yang mahu dikenali sebagai Lim, 73, juga kecewa dengan Kerajaan BN kerana sanggup mempergunakan 'talian hayat' memberikan hak milik tanah sekiranya BN mengekalkan kerusi di Dewan Undangan Negeri N25 Bukit Selambau setiap kali pilihan raya umum.

Jelasnya, tindakan Kerajaan Pakatan Rakyat di bawah Menteri Besar, Dato' Seri Azizan Abdul Razak begitu mengembirakan penduduk yang sudah ternanti peristiwa bersejarah itu.

"Kami rasa bangga dengan mutu pertadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat berbanding BN yang asyik menipu rakyat, " tambah beliau.

Sehubungan itu, Exco Pertanian, Pelaburan dan Industri Negeri, Dato' Amirudin Hamzah ketika menerangkan isu berkenaan pada penduduk berbangsa Cina di Pekan Bukit Selambau menambah, kerajaan cuba memproses hak milik tanah yang selama ini diabaikan oleh kerajaan terdahulu.

Namun bagaimana pun, Kerajaan Pakatan Rakyat hanya memberikan Hak Milik secara pajakan sama ada 99 atau 60 tahun tertakluk kepada status bandar atau luar bandar.

"Bila saya dapat tahu tanah di pekan ini masih tiada hak milik saya terus berbincang dengan Menteri Besar. Keputusannya Menteri Besar mengatakan soal tanah mesti diutamakan dan akan diberikan hak milik berdasarkan kategori tertentu secara pajakan 99 atau 60 tahun tertakluk pada status terkini tanah pekan atau luar bandar, " katanya. - mks. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.