Rahmah Ghazali
Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menafikan ia telah 'menahan' adik tahanan Akta keselamatan Dalam Negeri selama tiga jam di luar ibupejabat polis di Bukit Aman di Kuala Lumpur Isnin lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah menuduh aktivis dari badan hak asasi manusia itu, 'menahan' Junaidi, 27, adik kepada Agus Salim yang ditahan bulan lalu kerana didakwa ada kaitan dengan badan militan Islam, Jemaah Islamiah.
Musa berkata, beliau dimaklumkan bahawa beberapa aktivis GMI dikatakan 'menahan' warga Indonesia itu dalam sebuah kereta selama kira-kira tiga jam.
Menjawab dakwaan tersebut, setiausaha GMI, E Nalini menghantar satu kenyataan kepada Malaysiakini, yang menjelaskan dengan panjang lebar mengenai apa yang berlaku pada hari berkenaan.
Menurut Nalini, dia dan seorang lagi rakannya dari GMI, Nashitah Mohd Noh, menemani Junaidi dan ibunya, Kartam, yang berusia 56 tahun.
Kedua-dua Junaidi dan Kartam tiba di Kuala Lumpur dan Medan tiga hari sebelumnya, dan tinggal di tempat tinggal yang disediakan oleh Nashitah. Pada hari ketibaan itu, mereka pergi ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk meminta bantuan suruhanjaya itu berhubung penahanan Agus.
Nalini berkata, mereka tiba di Bukit Aman pada jam 11.30 pagi tetapi kerana dia tidak dibenarkan menemani mereka masuk, maka dia balik ke pejabat GMI, manakala Nashitah tinggal di situ untuk menunggu Junaidi dan ibunya.
Bagaimanapun, sejam kemudiannya, Nalini menerima satu panggilan dari Nashitah, mengatakan Junaidi telah keluar dari ibupejabat polis itu tanpa ibunya.
"Dia memberitahu saya, seorang pegawai cawangan khas telah mengarahkan Junaidi balik ke tempat tinggal sementaranya di Kuala Lumpur, untuk mengemas barang-barangnya dan datang semula ke Bukit Aman supaya polis dapat menghantarnya dan ibunya balik ke Johor," katanya.
Keluarga tersebut mempunyai sebuah rumah di Johor, di mana adik perempuan Junaidi - Fatin - tinggal bersama abangnya, Agus.
Agus, tukang masuk di sebuah restoran, ditahan awal Mac lalu oleh sepasukan polis dari Bukiot Aman dipercayai terbabit dengan satu rompakan bank di Indonesia dan disyaki ada kaitan dengan Jemaah Islamiah.
Setengah jam selepas menerima panggilan itu, Nalini datang semula ke Bukit Aman di mana dia ternampak Nashitah dan Junaidi di dalam sebuah kereta yang berada dekat halaman ibupejabat polis tersebut.
"Dia (Junaidi) memberitahu kami bahawa polis tidak membenarkan ibunya keluar dari ibupejabat polis itu, sehinggalah dia mengemaskan beg-beg mereka supaya mereka dapat dihantar pulang ke Johor, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.