Khamis, 23 April 2009

Desakan Kabinet Sabah dirombak, tak hormat semangat setiakawan - Rosnah

BERNAMA


KOTA KINABALU: Ketua Puteri UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyifatkan desakan terbuka Timbalan Presiden Parti Liberal Demoktratik Sabah (LDP) Datuk Chin Su Phin supaya Kabinet Sabah dirombak, sebagai tindakan tidak menghormati semangat setiakawan parti kompenan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata Chin sepatutnya menggunakan saluran yang sesuai untuk memberikan pandangan atau teguran membina demi kebaikan semua.

"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini, tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha menangani krisis ekonomi, berbanding permainan politik yang mungkin boleh merugikan semua pihak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rosnah, yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Chin berhubung komposisi pembentukan Kabinet Sabah semalam.

Dalam kenyataan itu, Chin berkata pengekalan Datuk Raymond Tan sebagai Timbalan Ketua Menteri, "satu-satunya anggota bebas dalam Barisan Nasional (BN)" selepas Parti Maju Sabah meninggalkan gabungan itu dan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Japlin Akim, yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana politik wang, menunjukkan Kabinet negeri berlaku tidak adil kepada parti komponen lain.

Chin turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengambil tindakan tegas berhubung perkara itu, termasuk keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet negeri.

"Mainan-mainan politik seperti ini perlu dihindarkan kerana semua mempunyai matlamat sama untuk membawa perubahan dan membela nasib rakyat Malaysia seperti gagasan idea yang dilontarkan oleh Perdana Menteri iaitu '1Malaysia, Rakyat Diutamakan Prestasi Ditingkatkan'.

"Untuk menterjemah konsep ini dalam gerak kerja, sudah pasti memerlukan penyertaan secara menyeluruh terutama di kalangan pemimpin dan seluruh masyarakat," katanya.

Rosnah berkata jika asyik berpolitik, ia boleh menjejaskan segala usaha yang dirancang kerana lebih banyak masa diperlukan menyelesaikan masalah politik berbanding bertindak menumpukan usahausaha menangani krisis ekonomi dan lebih utama merealisasikan kehendak rakyat yang memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mempunyai alasan yang kukuh dan memahami komposisi kabinet negeri tanpa meminggirkan parti kompenan BN yang lain, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.