BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 18 Mei ini untuk memutuskan sama ada kes prima facie terhadap Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua atas tuduhan mencederakan seorang anggota polis di sini pada Disember 2007.
Majistret Mohd Faizi Che Abu menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan pada akhir kes pendakwaan.
Terdahulu itu, peguam Ranjit Singh, yang mewakili Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, berkata keterangan daripada Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Nurzilawati Ahmad, menyatakan bahawa kesan lebam pada lengan Konstabel Rosyaidi Anuar kurang jelas.
"Ini menunjukkan Rosyaidi ada motif sendiri iaitu sama ada benar-benar dia dicederakan atau berkemungkinan perbuatan itu disengajakan atau tiada sebarang kejadian seperti itu berlaku," kata Ranjit.
Pada 1 April lalu, Nurzilawati, 35, menjelaskan beliau telah merawat Rosyaidi pada pukul 11.53 pagi, 11 Disember 2007 dan memberitahu kesan gigitan itu berukuran 4x4sm tetapi lebamnya kurang jelas.
Katanya, dua faktor yang mungkin menyebabkan tiada kesan gigitan yang dapat dilihat ialah tempoh antara kejadian yang berlaku ketika itu dengan mangsa mendapat rawatan dan juga lengan mangsa dilapik dengan baju.
Tian Chua, 46, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10.45 pagi, 11 Disember 2007 di jalan masuk ke Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini.
Tian Chua, Anggota Parlimen Batu, didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ranjit berpendapat anak guamnnya tidak melakukan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang ketika beliau ditahan di pekarangan Parlimen.
"Tiada bukti menunjukkan anak guam saya pergi ke Parlimen kerana ingin menyertai perhimpunan haram itu. Lagipun polis tidak bertanyakan mengenai memorandum sama ada ia pada anak guam saya atau sebaliknya.
"Berkemungkinan beliau sebagai ahli politik sering ke Parlimen atau sengaja bersiar-siar di sana. Jadi, pihak kami berpendapat tangkapan dibuat tanpa menggunakan prosedur yang betul," katanya.
Sebelum ini Rosyaidi mengatakan beliau tidak memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada Tian Chua dan ia menyebabkan tertuduh enggan memberi kerjasama.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof berhujah bahawa sikap Tian Chua ketika ditahan perlu diambil kira kerana berlaku sedikit pergelutan yang mana tertuduh enggan menyerahkan kad pengenalan ketika Proton Tiara yang dinaikinya ditahan polis.
"Kereta tertuduh hanya berhenti selepas salah seorang polis menahannya dari arah depan. Tertuduh enggan memberi kerjasama ketika diminta keluar dari kenderaan itu," katanya.
Seramai lapan saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.