MALAYSIA KINI
Keputusan kabinet semalam - anak kekal agama asal ibu bapanya walaupun salah seorang menganut Islam - sewajarnya dirujuk kepada mufti, kata Datuk Seri Harussani Zakaria.
Mufti Perak menyarankan kerajaan mendapatkan pandangan Majlis Mufti-mufti Malaysia sebelum membuat sebarang keputusan berhubung Islam bagi mengelak timbulnya kekeliruan, lapor Bernama.
"Dalam agama Islam, mana-mana bapa atau ibu yang menganuti Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak tersebut sudah berumur lebih 15 tahun dan boleh memilih agamanya sendiri," Harussani dipetik berkata hari ini.
Ketika mengumumkan keputusan kabinet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan itu sebagai langkah penyelesaian berhubung pertikaian status agama kanak-kanak apabila ibu atau bapa menukar agama.
Menurut agensi berita itu lagi, beberapa NGO Islam turut menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan itu kerana mendakwa ia dibuat tanpa mengambil kira undang-undang sedia ada dan pandangan pihak-pihak yang berkenaan.
Keputusan itu menafikan hak pihak yang memeluk Islam, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abdul Latif pada sidang akhbar yang turut dihadiri wakil-wakil badan lain termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Dakwah dan Kebajikan Saudara Baru Islam SeMalaysia.
Selain keputusan membesarkan anak di bawah umur mengikut agama asal ibu bapanya, kabinet juga memutuskan pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil.
Nazri dilaporkan berkata, langkah itu selaras dengan pendirian jemaah menteri bahawa enakmen syariah hanya boleh digunakan terhadap perjanjian berkaitan perkahwinan yang dibuat bermula dari tarikh individu itu memeluk Islam dan bukannya sebelum itu.
Tambahnya, keputusan itu berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes K Pathmanaban atau nama Islamnya Mohd Ridzuan Abdullah.
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di JPM Tan Sri Dr Koh Tsu Koon turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam; Menteri di JPM Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.