Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Kemungkinan negara perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil ketujuh?
Kemungkinan ini mula 'terbayang' ekoran desas-desus bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan, yang kini ditahan di Kamunting akan melepaskan kedudukannya.
Bagaimanapun sama ada beliau, antara pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hanya akan diketahui Sabtu ini.
"Saya tidak mengesahkan apa-apa, tunggu sehingga Sabtu, saya menemui suami saya di Kamunting Sabtu ini," kata isterinya, S. Pushpaneela ketika dihubungi sebentar tadi.
Pushpaneela ditanya mengenai laporan media bahawa suaminya sudah memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai ADUN.
"Saya tidak tahu... tunggu sehingga saya menemui suami saya, tunggu saya di Kamunting Sabtu ini," katanya.
Manoharan antara satu-satunya tahanan ISA yang bertanding dan memenangi pilihan raya umum 2008.
Beliau merupakan antara lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA sejak Disember 2007.
Empat yang lain ialah P. Uthayakumar, R. Kenghadharan, V. Ganabatirau dan T. Vasanthakumar.
Bagaimanapun Kenghadharan dan Ganabatirau telah pun dibebaskan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri awal bulan ini.
Walaupun dalam tahanan ISA, Manoharan bertanding dalam pilihan raya umum dan menang kerusi tersebut.
KOMEN DAP
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua ketika dihubungi turut mengesahkan mengetahui mengenai khabar angin tersebut.
"Ya kita juga ada mendengar khabar angin tersebut, tapi saya tak dapat pastikan mengenai kesahihannya," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.