Ahad, 5 April 2009

13 tahanan ISA dibebaskan secara berperingkat-peringkat pagi ini

Oleh G. MANIMARAN


TAIPING: 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mula dibebaskan dari Pusat Tahanan Perlindungan Kamunting dekat sini secara berperingkat-peringkat sejak pagi ini.

Kira-kira 10:43 pagi tadi tiga orang tahanan ISA warga asing kelihatan dibawa keluar dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dipercayai untuk diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Tahanan itu termasuk dua pemimpin Hindraf yang dijadual dibebaskan 11 pagi tadi.

Bagaimanapun sehingga 1 tengah hari tadi mereka tidak kelihatan dibawa keluar dari pusat tahanan.

Pembebasan mereka diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kelmarin.

Pusat tahanan ini menjadi tumpuan orang ramai selain penyokong Makkal Sakthi dan anggota keluarga tahanan sejak 7 pagi tadi.

Keluarga tahanan kalangan pemimpin Hindraf mula menanti mereka sejak 7.30 pagi lagi.

Dalam pada itu, isteri pemimpin Hindraf,V. Ganabatirau, B. Puvaneswary berkata suaminya akan dibawa ke rumah mereka di Shah Alam.

"Dia (Ganabathriu) tidak akan dibebaskan di Kamunting sebaliknya akan dibawa ke rumah kami di Shah Alam.

"Saya diminta berada di rumah, saya akan ikut kereta polis dari belakang sebaik dibawa keluar dari sini," katanya yang hari ini bersama anaknya berusia empat tahun.

Dia mengharapkan suaminya dibenarkan pulang rumah semalam.

Sementara isteri seorang lagi pemimpin Hindraf, Kenghadharan, Dr Kalaivani juga berkata, suaminya akan dibebaskan di rumahnya di Kelana Jaya, Selangor.

Kata beliau, menurut suaminya dia dibebaskan dengan syarat tetapi tidak menyebut apa syarat-syarat tersebut.

Tambah, pengurusan pusat Kamunting telah mengambil nombor telefon dan akan menghubungi "saya sebaik sahaja bila memutuskan untuk membawa keluar."

"Saya akan tunggu di sini hingga suami saya dibenarkan pulang," katanya.

Penyokong dan pengikut Makkal Sakthi juga 'berkhemah' sejak lima jam lalu.

Seorang penyokong mereka pula melakukan 'upacara cukur jambang' meraihkan pembebasan mereka sambil melaungkan "terima kasih Najib" dan "hidup Makkal Sakthi".

Kawalan keselamatan juga diperkatakan.

Bagaimanapun ahli keluarga tahanan ISA lain dibebaskan tidak kelihatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan Jumaat lalu berkata, selain pemimpin Hindraf, tahanan lain yang dibebaskan ialah tujuh orang anggota Darul Islam, tiga rakyat asing kerana memalsukan dokumen dan seorang anggota Jemaah Islamiah.

Anggota Darul Islam yang dibebaskan ialah Binsali Omar, A. Artas A. Burhanudin, Idris Lanama, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Pakana Selama dan Mohd Arasad Patangari yang ditahan sejak 2006. Tempoh tahanan mereka sepatutnya berakhir tahun depan.

Tiga rakyat asing itu ialah Sundaraj Vijay (warga India) dan dua warga Myanmar iaitu San Khaing dan Amir Hussain. Mereka ditahan sejak 2007. Anggota Jemaah Islamiah itu ialah Wan Amin Wan Hamat yang ditahan sejak 2003.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.