Oleh ZANARIAH ABDUL MUTALIB
KUALA LUMPUR: Teka-teki penyandang jawatan Ketua Wanita Umno terjawab pukul 9 malam tadi dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menewaskan Ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz dengan majoriti undi yang selesa.
Shahrizat yang telah diramalkan akan memenangi jawatan tersebut memperolehi 507 undi berbanding Rafidah yang menerima 280 undi.
Ia merupakan kekalahan kali kedua buat Rafidah yang pernah tewas pada 1993.
Sebelum keputusan diumumkan, penyokong-penyokong Shahrizat sudah pun mula bersorak sebaik sahaja beliau masuk ke dalam Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bagi mendengar pengumuman keputusan pemilihan barisan tertinggi sayap itu.
Bagaimanapun, ketika keputusan itu diumumkan, Rafidah tidak berada di dalam dewan.
Rafidah menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno.
Ketika ditemui media selepas pengumuman kemenangannya itu, Shahrizat berkata, beliau bersyukur kerana memenangi jawatan ini dan terkejut dengan majoriti begitu tinggi yang diperolehinya.
"Saya sememangnya terkejut dengan majoriti itu kerana seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, peluang saya untuk memenangi jawatan ini adalah 50-50.
"Saya percaya, perwakilan mendengar apa yang rakyat mahu dan mereka membuat keputusan berdasarkan kehendak rakyat yang mahu berubah.
"Sebab itu negara ini mempunyai ramai pemimpin yang baik kerana akar umbi dan perwakilan mendengar apa yang rakyat mahukan," kata beliau Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Shahrizat turut merakamkan penghargaan kepada Rafidah kerana jasa dan sumbangannya kepada parti semasa menjawat jawatan Ketua Wanita selama 20 tahun.
"Saya banyak belajar daripada beliau dan kemenangan saya adalah kemenangan Rafidah.
"Saya akan hulurkan tangan bagi menunjukkan masih ada tempat untuk Tan Sri (Rafidah) bersama kami Wanita Umno," katanya.
Ditanya sama ada Rafidah akan diberikan jawatan penasihat dalam Wanita, Shahrizat berkata, hal itu akan dibincangkan kemudian.
Shahrizat berkata, beliau akan bekerjasama rapat dengan naibnya, Datuk Kamlia Ibrahim dan barisan Exco baru sayap itu terutama dalam merapatkan kembali tali silaturrahim antara ahli Wanita.
"Saya mahu jadi ketua yang dihormati dan disanjungi. Kita tidak akan ambil tindakan untuk pinggirkan sesiapa pun.
"Selagi saya menjawat jawatan ketua, pasti ada tempat untuk semua," katanya.
Beliau turut mengakui mempunyai keserasian untuk bekerja dengan Kamilia kerana mereka mempunyai idealisme dan prisip perjuangan yang sama.
Ditanya perubahan yang akan dibawanya dalam sayap itu, Shahrizat berkata: "Kamu kena tunggu dan lihat."
"Saya tidak mahu memperkatakannya lagi...kita akan lakukan langkah demi langkah.
"Apa yang pasti, kita akan duduk dan mengadakan perancangan yang baik untuk Wanita Umno.
"Saya dan barisan kepimpinan akan mewujudkan satu pelan tindakan khas untuk Wanita Umno," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.