MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]
KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak bersetuju istilah "bumiputera" digunakan terutama bertujuan untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan.
Malah, beliau juga berkata, bukan Islam boleh dibenarkan menggunakan perkataan "Allah" yang kini menjadi kontroversi.
Beliau berkata, istilah bumiputera itu juga berbau perkauaman dan menafikan hak kaum lain sedangkan mereka mempunyai hak yang sama rata dan mempunyai kad pengenalan yang sama.
"Bila pilihan raya kaum lain boleh mengundi dengan satu undi, begitu juga dengan kaum bumiputera dapat mengundi dengan satu undi," katanya mengulas kedudukan bumiputera di negara ini yang didakwa sama dengan golongan aparteid di Afrika.
Nik Aziz bagaimanapun berkata, sewajarnya pihak tertentu menyamakan bumiputera itu sama seperti aparteid.
Beliau berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu badan bagi mengendalikan golongan miskin di negara ini bukannya membantu satu kaum yang dikenali sebagai bumiputera.
"Saya tidak suka dengan perkataan bumiputera. Yang saya suka perkataan miskin, melibatkan semua kaum, begitu juga dalam Islam tidak sebut (Islam) hak Arab sahaja tetapi hak semua termasuk Arab Quraisy," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, penubuhan sebuah badan yang mengendalikan bantuan kepada golongan miskin dapat menentukan pihak yang bertanggungjawab mendapatkan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan.
Beliau berkata, semua golongan yang terdiri dari kalangan miskin perlu dibantu sebagaimana kerajaan membantu golongan bumiputera sekarang.
"Apa kita hendak guna bumiputera sahaja sedangkan kaum Cina, kaum India pun miskin juga dan perlu dibantu," katanya.
BOLEH GUNA PERKATAAN "ALLAH"
Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, penggunaan nama Allah oleh masyarakat bukan Islam, yang kini menjadi kontroversi, dibolehkan.
Bagaimanapun, kata Menteri Besar Kelantan itu, ia terserah kepada Kerajaan Pusat untuk menentukannya.
"Saya tidak mahu campur tangan dalam perkara ini, Kerajaan Pusat yang membuat keputusan, kerana sebelum ini mereka anggap penggunaan God itu Allah, itu salah," kata beliau dipetik Bernama.
Sehubungan itu, tambah beliau, terserah kepada Kerajaan Pusat menentukan tindakan dan berharap ia tidak menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan bahawa ia telah membatalkan warta kerajaan yang membenarkan penggunaan bersyarat perkataan "Allah" dalam penerbitan agama Kristian berkuat kuasa serta merta.
Sambil mengakui bahawa ada kesilapan dalam menggubal warta itu yang menyebabkan kekeliruan berhubung isu itu, Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, keputusan kerajaan untuk melarang penggunaan perkataan itu dalam penerbitan majalah Herald tetap berkuatkuasa sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) turut meminta kerajaan menarik balik keputusan itu kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini malahan di seluruh dunia.
Sementara itu, Nik Aziz berkata, kejayaan rakyat Kelantan dalam bidang ekonomi adalah kerana semangat setelah kecewa dengan sekatan oleh Kerajaan Pusat sebelum ini.
Nik Aziz berkata, sikap pemimpin Pusat mempertikai keinginan pelabur ke Kelantan menyebabkan rakyat naik muak dan semangat diguna untuk berusaha sendiri sehingga berjaya.
"Apabila pelabur datang dan bertanya hendak ke Kelantan dia (menteri) akan tanya balik... why Kelantan? (mengapa Kelantan?), why Kelantan?... u know la... (anda tau la)," katanya ketika mengulas kejayaan dalam bidang ekonomi oleh rakyat Kelantan sekarang.
Kata beliau, matlamat utama kerajaan negeri juga mahu melihat rakyatnya memperoleh kekayaan secara halal.
"Bagaimana dia buat, apa yang dia hendak usaha, sama ada depu (gaharu) atau tanam lain, janji dibuat secara halal," katanya.
Bagaiamanapun beliau kesal dengan sikap rakyat yang suka membina rumah besar dan berkereta besar kerana boleh menyebabkan ekonomi tidak berkembang.
"Saya bimbang dengan rumah besar, kereta besar yang sepatut buat lain, bila bina rumah besar duit mati, wang tidak rolling," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.