BERNAMA
KUANTAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak berhasrat menubuhkan universiti baru, sebaliknya ingin menumpukan usaha ke arah meningkatkan keupayaan universiti yang sedia ada di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kini apa yang penting adalah meningkatkan tahap pembangunan fizikal dan intelektual universiti tempatan ke peringkat optimum.
"Kita kena menstabilkan keadaan universiti yang sedia ada supaya ia mencapai peringkat optimum," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Karnival Pengajian Tinggi Negara Zon Timur, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Terdapat 20 buah universiti awam dan 21 universiti swasta, dah cukup bilangan universiti, tiap-tiap negeri dah ada universiti," kata Najib.
Najib berkata, Kementerian Pengajian Tinggi juga telah menetapkan bahawa universiti di negara ini mestilah mempunyai 70 peratus tenaga pengajar berkelulusan doktor falsafah (Phd).
"Pembangunan intelektual ini memakan masa dan ketika ini bukan semua universiti mencapai sasaran itu," katanya.
Pada perkembangan yang sama, Najib berkata, kerajaan juga bercadang menambahkan lagi autonomi kepada universiti terutamanya melibatkan hal berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kokurikulum pengajian, pelantikan, kuasa perbelanjaan dan sebagainya.
"Kita dah beri kuasa kepada universiti (sebelum ini) untuk membuat keputusan sendiri di peringkat universiti, dan sekiranya langkah ini membawa manfaat sepenuhnya, maka kerajaan akan menambah kuasa kepada universiti pada masa akan datang," jelasnya.
"Kita ingin melihat universiti ini menjadi cemerlang, maka universiti mesti perlu diberi kuasa atau 'empowerment' untuk membuat keputusan sendiri," katanya.
Pada majlis itu, Najib turut menyaksikan upacara tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMP dan Pasdec Holdings Berhad serta Hicom Automative Manufacturers Sdn Bhd.
MoU itu dimeterai bagi menjalin kerjasama dalam bidang penyelidikan dan perundingan, pembangunan modal insan dan pembangunan hartanah di kampus tetap UMP di Kuala Pahang, Pekan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.