ROSLAN SMS
Sebentar tadi Dollah Badawi menyampaikan ucapan terakhirnya sebagai Presiden Umno. Timbalannya Najib Tun Razak baru sahaja diisytiharkan sebagai Presiden Umno yang baru.
Saya tertarik dengan ucapan akhir Dollah yang bagi saya tidak secara langsung mengkritik “style” kepimpinan Najib dan “team”nya yang bakal mengisi kekosongan Dollah dan konco-konconya. Dollah berpesan bahawa Umno tidak akan mencapai kegemilangannya kiranya kaedah lama digunakan oleh parti itu. Menyekat kebebasan rakyat dan menyekat hak mengkritik bagi Dollah adalah taktik lama yang jika digunakan hari ini akan mengakibatkan Umno menggali kuburnya sendiri!
Bolehkah Najib menerima pesanan bekas bosnya itu?
Harakah baru sahaja dijatuhkan hukuman digantung selama 3 bulan. Tidakkah ini juga sebahagian dari kaedah lama, iaitu menutup mulut para pengkritik? Apakah Najib akan berani menarik balik arahan “kuku besi” ini atau terus membiarkan ia begitu sahaja.
Rakyat diluar hari ini mengkritik Umno secara terang-terangan. Sebut sahaja rasuah dan salah-guna kuasa, jari rakyat akan menuding ke arah Umno, lalu dalam keadaan begitu mampukah Umno kembali ke zaman kegemilangannya dahulu?
Kini Umno dinakhodai Najib, kemanakah mahu di bawanya Umno ini? Kalau tiada beza dari yang lepas-lepas, maka jelas Umno sudah menghampiri ke hujung usianya. Terus berebut untuk dapatkan jawatan, belakangkan kemahuan rakyat, sekat kebebasan mereka untuk bersuara dan mengritik, jika begitu juga, maka layaklah Najib menjadi Presiden terakhir buat parti yang sudah semakin susut dan pudar relevannya kepada masyarakat dan Negara.
Selamat jalan Dollah, terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.