Isnin, 2 Mac 2009

Akhirnya tinggal empat ekor Raja

Hishamuddin Rais


Cerita Satu: Permaisuri sedang duduk di dalam kereta kuda yang bergerak pantas. Kaum tani dan orang kampung sedang membawa belantan, kapak dan sabit mengejar kereta kuda itu. Kuda disebat agar memecut lari sepantas mungkin. Kaum tani menghambat kuat. Akhirnya kuda keletihan, kaum tani datang mengepung.

Cerita Dua: Bomoh berjanggut tebal telah mati ditembak di dalam perigi. Di luar rakyat makin berpusu-pusu. Salji semakin turun dengan lebat. Dalam bilik peraduan, Baginda dan Permaisuri sedang memasukkan intan berlian, dinar emas dan dirham perak ke dalam peti besi. Rakyat di luar sedang bersedia menunggu dalam kedinginan salju.

Cerita Tiga: Apabila malam mulai gelap, Baginda dinaikkan ke atas kapal menuju Itali. Beberapa orang juak datang mengekor. Kaki-kaki bodek datang untuk mencium tangan. Tidak ramai yang hadir di pelabuhan. Apabila kapal bergerak, peluit pun tidak dibunyikan. Semuanya senyap.

Cerita Empat: Telepon berwarna merah berdering. Pembantu presiden mengangkat. Presiden menggeleng-menggeleng kepala tidak mahu bercakap. Di hujung talian Raja Segala Raja sedar saat-saat akhirnya telah sampai. Di lapangan terbang, enjin pesawat Boeing 747 telah lama terpasang hanya menunggu untuk terbang.

Cerita satu itu gambaran hari-hari akhir untuk Maria Antoinette permaisuri Perancis yang hingga ke hari ini masih diingati kerana ayat-ayat bodohnya. Apabila kaum tani Perancis kebuluran tanpa makanan dan bangun meminta roti, pemaisuri bangang ini telah berkata: "Kalau tidak ada roti, makanlah kuih".

Setelah ditangkap kerana cuba hendak melarikan diri, si bangang ini telah dibicarakan. Keputusan rakyat - lehernya dipenggal dengan guillotine (alat pemenggal kepala) dalam Revolusi Perancis pada 1793. Sistem feudal beraja dihapus, Perancis bertukar republik.

Cerita dua pula saat-saat apabila Rasputin bomoh kesayangan Czarina Rusia telah dibunuh. Rakyat Rusia telah bangun memberontak menentang sistem feudal Czar di negara itu. Keluarga Ramanov yang korup telah cuba lari and menyorok. Mereka ditawan dan akhirnya dihukum mati dalam Revolusi Bolshevik pada 17 Julai 1918. Sistem feudal dihapuskan, Rusia menjadi republik.

Cerita ketiga, malam akhir Al-Malik F�rūq al-Awwal, raja Mesir yang dinaikkan ke atas kapal oleh presiden Gammal Abdel Naseer. Raja Faruq telah dihantar ke Rom oleh Revolusi Rakyat Mesir pada 1952. Sistem feudal dihapuskan, Mesir bertukar republik.

Cerita keempat pula hari-hari akhir Shah Ahmad Reza Pahlavi Raja Segala Raja. Ahmad Reza telah cuba meminta bantuan dan pertolongan daripada presiden Jimmy Carter. Carter enggan bercakap dengan Ahmad Reza.

Pembantu Carter mengatakan kepada Ahmad Reza bahawa presiden sedang berehat di kem David dan tidak mahu diganggu. Pada 11 Febuari 1979, Raja Segala Raja yang agung lagi gagah perkasa ini ditendang keluar oleh rakyat Iran. Sistem feudal dihapuskan, Iran pula menjadi sebuah republik.

Inilah contoh-conth berakhirnya sistem feudal apabila Raja, Al-Malik, Shah, Maharaja dan Czar ditendang keluar oleh rakyat. Ada yang dibunuh, dipenggal leher dan ada juga yang dihalau meninggalkan negara.

Sistem feudal adalah sistem ekonomi yang muncul di zaman peralihan tamadun manusia - zaman peralihan dari Zaman Liar ke Zaman Feudal. Sistem feudal ini muncul di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Latin. Malah semua tamadun anak semua bangsa dalam dunia ini telah melalui sistem ini.

Feudal ialah satu sistem ekonomi di mana yang kuat dijadikan raja dan disembah. Sistem feudal ini bergantung kuat kepada tanah dan hasil ekonomi pertanian. Susuk yang kuat dan mengakui dirinya sebagai raja boleh mengambil, merampas dan merompak tanah-tanah dan hasil tanamam titik peluh kaum tani.

Di zaman ini punca pencarian rakyat hanya dengan bercucuk tanam. Gerombolan yang menamakan diri mereka raja ini telah merompak dan menyamun tanah dan hasil tanaman kaum tani sebagai cara untuk terus mengumpulkan harta kekayaan.

Dengan harta kekayaan, mereka mendirikan kota-kota dan istana. Dengan harta kekayaan mereka membesarkan bala tentera, pahlawan dan panglima. Dengan bala tentera, mereka dilihat berkuasa.

Untuk mengukuhkan kuasa, pada awalnya telah dimunculkan mitos dan cerita-cerita karut lagi marut untuk menakut-nakutkan rakyat. Ada cerita pedang azimat Raja Arthur, cerita rambut dibelah tujuh helai, cerita keris berasap, cerita geliga naga disimpan dalam istana dan pelbagai cerita karut untuk memastikan bahawa mereka ini dilihat oleh kaum tani memiliki daulat dan kuasa.

Malah Raja Jepun dengan bodohnya mengakui bahawa dirinya sendiri adalah wakil Tuhan di muka bumi.

Sistem feudal menghadapi persaingan apabila struktur agama muncul. Struktur agama yang menjadi kuasa baru mula mengancam kuasa feudal. Dengan licik sistem ekonomi feudal telah bersekongkol dengan kaum agama untuk terus menipu kaum tani. Ini berlaku beratus-ratus tahun di Eropah, Timur Tengah, China dan India.

Dengan kerjasama ini - kaum feudal dan kaum agama - telah berkenduri-kendara sama-sama memperbodohkan dan menakut-nakukan kaum tani. Kaum tani dibodohkan dan dimiskinkan kerana tanah dan tanamam mereka dirampas. Kaum agama menakut-nakutkan kaum tani dengan api neraka. Kaum agama mengeluarkan fatwa menghalalkan sesiapa sahaja untuk dibunuh jika mereka ingkar terhadap kaum feudal.

Penipuan ini berjalan beratus-ratus tahun hingga sampai ke Zaman Pencerahan. Di Zaman Pencerahan telah muncul idea dan pemikiran rasional yang berjejak di atas bumi. Ilmu pengetahuan yang dimunculkan di Zaman Pencerahan telah memberi kekuatan baru kepada pemikir dan ahli falsafah.

Buku-buku dan kitab-kitab falsafah yang membawa idea rasional mula tersebar luas. Idea bahawa manusia ini sama di mata Yang Maha Esa telah mula sampai kepada kaum tani. Melalui pandangan rasional, kaum tani tidak lagi berasa gerun apabila melihat muka raja atau muka kaum agama. Mitos dan cerita karut-marut telah dikoyak-rabakkan oleh pemikiran rasional.

Idea yang dibawa pada Zaman Pencerahan bertokok tambah. Ilmu pengetahuan berkembang. Ilmu sains, ilmu alam, ilmu bumi dan bintang maju dari tahun ke tahun. Ilmu pengetahuan ini membawa kemunculan satu kumpulan baru muncul – kaum Peniaga. Kaum peniaga membuktikan bahawa harta dan kekayaan bukan hanya datang dari hasil tanah dan bercucuk tanam tetapi daripada urusan perniagaan.

Dengan ilmu sains dan pengetahun, kaum peniaga mula mendirikan kilang-kilang. Kilang-kilang ini memerlukan kaum buruh untuk membanting tulang. Kaum tani mula meninggalkan tanah untuk bekerja di kilang-kilang. Tetapi kaum peniaga juga tidak jauh ganasnya daripada kaum feudal dalam hal menindas dan memerah tenaga kaum buruh untuk mendapat harta kekayaan.

Idea dan falsafah di Zaman Pencerahan terus berkembang. Ahli fikir dan ahli falsafah terus mengajukan idea-idea baru yang mendapat sambutan daripada kaum buruh dan kaum tani. Maka hasilnya berlakulah Revolusi Perancis pada 1789, berlaku Revolusi Amerika pada 1776. Berlakulah Revolusi Bolshevik pada 1917.

Semua revolusi ini telah menumpaskan sistem feudal dan membawa mara tamadun anak semua bangsa ke era pencerahan. Pencerahan berjaya membuka mata kaum tani dan kaum buruh untuk melihat bahawa kekayan kaum feudal, kaum agama dan kaum peniaga adalah hasil daripada rompakan tenaga kerja mereka.

Epilog: Satu malam di kota Rom, Faroq sedang berpoya-poya bermain daun terup. Faroq dikelililingi oleh gundek-gundek Kavita dan Kaur. Mereka sedang bersantai minum-minum champagne. Kavita dan Kaur gundek Faroq telah bertanya, apakah dia akan pulang ke Mesir untuk menjadi raja kembali.

Ini jawapan Al-Malik F�rūq al-Awwal: "Akhirnya dalam dunia ini akan tinggal empat ekor raja sahaja. Raja Diamond, Raja Spade, Raja Kelawar dan Raja Lekuk."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.