Selasa, 3 Mac 2009

2 saman difail halang Speaker, Setiausaha DUN Perak digantung tugas

Saman Zamry didengar 9 pagi, sidang tergempar dijadual 10 pagi

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI, 11.30 MALAM]


IPOH: Sah atau tidak ataupun siapa yang lebih berhak! Urutan usaha mempertahankan pendirian dan hujah masing-masing jelas mewarnai drama krisis politik Perak sejak pagi ini - menjelang sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipanggil Speakernya, V. Sivakumar pagi esok.

Drama pagi ini bermula dengan tindakan Exco kerajaan negeri Perak, Mohd. Zahir Abdul Khalid - yang baru - menyerahkan notis untuk merujuk Sivakumar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dewan itu atas dakwaan salah laku.

Notis yang mengandungi laporan salah guna kuasa oleh Speaker, menghina DUN serta tidak taat setia kepada titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah itu diserahkan kepada setiausaha politik Sivakumar, A. Basu di pejabat Speaker di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 11 pagi.

Ia disusuli dengan tindakan Setiausaha DUN yang memutuskan agar pintu utama Bangunan Perak Darul Ridzuan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini ditutup esok.

Notis Penutupan berkenaan telah ditampal di kompleks yang menempatkan pejabat Menteri Besar Perak, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Notis berkenaan dikeluarkan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Notis dua perenggan itu meminta warga bangunan Perak Darul Ridzuan supaya membatalkan semua temu janji esok di premis tersebut.

V.Sivakumar telah memanggil sidang DUN tergempar esok ( 3 mAC ) untuk membincangkan dua usul.

Drama menjadi makin panas dengan tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Dr, Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan keputusan Sivakumar yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.

Dalam saman pemula yang difailkan petang tadi, Zambry dan enam Exco berkenaan memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry daripada menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan dan selama 12 bulan terhadap enam Exco berkenaan adalah menyalahi Undangundang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya, Zambry berkata beliau difahamkan Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan itu pada 9 pagi esok.

Sehingga pukul 11.30 malam tadi, maklumat yang diterima menunjukkan Sivakumar telah bertindak menggantung tugas Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri dengan serta merta sambil menegaskan bahawa persidangan tergempar DUN yang dijadualkan esok akan tetap diteruskan.

Bercakap pada sidang media di pejabat peguamnya di sini malam ini, Sivakumar berkata, penggantungan itu diambil disebabkan kegagalan Abdullah menjalankan tugas sebagai pegawai Dewan.

Beliau telah melantik Misbahul Munir Masduki mengisi jawatan Abdullah.

Misbahul ialah setiausaha politik bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Semalam, Abdullah berkata, keputusan Speaker DUN Perak memanggil sidang tergempar Dewan esok adalah tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Jumaat lepas, Sivakumar telah mengeluarkan kenyataan memanggil satu sidang tergempar itu bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan di negeri ini.

Dalam sidang media hari ini, Sivakumar turut meminta polis memberi kerjasama kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menghadiri persidangan itu.

Beliau berkata Setiausaha Dewan atau Ketua Polis Negeri tidak patut menghalang atau mensabotaj usaha mengadakan persidangan berkenaan yang telah dipanggil secara sah.

Katanya, walaupun pakar perundangan telah menyatakan persidangan yang akan diadakan esok sebagai sah, namun pelbagai usaha dan taktik sedang dilakukan oleh pihak lawan untuk menghalang ia daripada berlangsung.

Sivakumar berkata, beliau akan menggunakan kuasa Dewan untuk membawa mana-mana pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah petang tadi memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan ke atas orang ramai yang mengadakan perhimpunan di kawasan bangunan Perak Darul Ridzuan esok.

Polis termasuk anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah berkawal di sekitar bangunan itu sejak petang tadi.

Sementara itu, Pengerusi DAP Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, kesemua 28 ADUN Pakatan Rakyat akan pergi ke bangunan berkenaan pada 10 pagi esok untuk menghadiri persidangan tergempar itu.

"Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Perak bahawa pihaknya akan mengambil tindakan berhubung keputusan pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menunjukkan ia tidak menghormati DUN sama sekali," katanya.

Ngeh berkata, polis sepatutnya memastikan sidang DUN itu berjalan lancar dan membenarkan semua anggota dewan menghadirinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.