Sabtu, 21 Februari 2009

Pengerusi SPRM bertindak sebagai Ketua Umno Cawangan

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Ahli Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat negeri Selangor sepakat menegaskan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dato' Ahmad Said Hamdan terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersifat politik dan pendakwaan tersebut bertujuan mencemarkan nama baik Menteri Besar.

Kenyataan pertama sebulat suara daripada Adun dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu dinyatakan dalam sidang media sempena program Retreat Exco Selangor 2009, di Holiday Hotel, Subang Jaya selama tiga hari.

Menurut Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali, berdasarkan fakta yang terkandung dalam saman Menteri Besar terhadap Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir toyo adalah jelas menunjukkan bahawa dakwaan terhadap Khalid tidak berasas.

Tambahan pula kata beliau, semasa pendakwaan ia adalah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara dan SPRM tidak berhak untuk membuat kenyataan terbuka sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat oleh Jabatan Peguam Negara.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak dan Adun Bukit Antarabangsa menjelaskan kenyataan Pengerusi SPRM boleh ditafsirkan sebagai satu percubaan untuk mempengaruhi budi bicara Peguam Negara yang bertanggungjawab bertindak secara bebas dan adil.

"Kami menuntut supaya SPRM dapat melaksanakan tugas secara bertanggungjawab dan kami mendapati ia merupakan usaha jahat yang terancang oleh Umno-BN untuk mengugat Pakatan Rakyat Selangor dengan memperalatkan institusi SPRM dan Jabatan Peguam Negara," tegasnya.

Beliau yakin wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor akan terus menjadi sasaran serangan fitnah Umno-BN dalam beberapa bulan yang akan datang.

Bagaimanapun, katanya, semua Adun dan Ahli Parlimen akan mempertahankan prinsip-prinsip keluhuran Perlembagaan serta mendukung sebulat suara kepimpinan Menteri Besar untuk terus memimpim Selangor.

Katanya, pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin selama hampir setahun telah mempertahankan agenda dan program kebajikan rakyat dengan prinsip merakyatkan ekonomi Selangor.

"Kerajaan Pakatan Rakyat dalam pentadbiran dan pembangunan dalam tahap yang cukup cemerlang dan kami yakin rakyat akan tetap memberikan mandat untuk Tan Sri memimpin dan menerajui Selangor," jelasnya.

Beliau menegaskan kenyataan SPRM itu amat tidak bertanggungjawab dan seolah-olah Pengerusinya bertindak sebagai Ketua Umno Cawangan.

Kenyataan Pengerusi SPRM itu seolah-oleh menggambarkan bahawa SPRM tidak bebas dan menjadi alat serta diperkudakan oleh Umno-BN.

Justeru, Adun dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Selangor berharap Jabatan Peguam Negara sewajarnya bertindak secara bebas, adil dan telus manakala SPRM pula tidak mengambil tindakan yang boleh dilihat sebagai badan yang tidak bebas./Sh _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.