Sabtu, 21 Februari 2009

Jejak sumbang orang politik

RAKYAT TERUS DIULIT SENGSARA

KAMAL AMIR MENULIS


Berapa puluh ribu kakitangan syarikat swasta yang telah lebur masa depan mereka kesan diberhentikan oleh syarikat yang tidak lagi bersedia untuk beroperasi. Bagiamana pula dengan para siswazah yang semakin tepu menjadi penganggur terhormat?

KALUT, kelm kabut dan amat bercempera sekali situasi politik di seluruh negara sejak kerajaan Pakatan Rakyat ditumbangkan di Perak dalam situasi yang begitu bergelodak serta berkecamuk.

Belum selesai kisah tumbangnya sebuah kerajaan negeri yang sebegitu rapuh serta diganti pula oleh kerajaan baru (juga amat rapuh) tiba-tiba Speaker Dewan Undangan Negeri Perak mengambil tindakkan menggantung Menteri Besar yang baru berserta enam orang exconya.

Rakyat jadi bingung, masyarakat antarabangsa pasti mentertawakan situasi sebegitu merencam dalam senario politik yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Tambah menjadi gawat apabila saban hari media melaporkan pelbagai episod saman menyaman kalangan orang politik di mahkamah.

Persoalannya apakah sepanjang tahun 2009 ini setiap hakim perlu mengadili kes orang politik sahaja dan mengenepikan perbicaraan jenayah lain? Jika begitulah natijahnya ini bererti mereka yang ditahan di bilik kurungan harus terus menanti dan menanti perbicaraan kes mereka.

Di Sabah ada kes wakil rakyat yang dikatakan tidak sah memenangi pilihanraya umum lalu. Di Kedah sudah “terjojol” pula cerita Adun Kulim yang sedang dalam siasatan badan pencegah rasuah. Di Perak tentulah cukup kalut apabila Datuk Nizar mengemukakan saman terhadap Datuk Zambery Abdul Kadir kerana merasakan jawatan Menteri Besar telah dirampas oleh kerajaan Barisan Nasional.

Sementara itu dua orang mantan exco kerajaan Pakatan Rakyat yang mengambil keputusan keluar dari parti Keadilan menyertai Barisan Nasional masih tercungap-cungkap mencari upaya agar kes rasuah yang “terlekap” dan terpalit keatas bataang tubuh mereka dapat segera dilangsaikan. Mungkin ada janji yang belus dapat dibereskan.

Malahan seminggu selepas menyertai gagasan Barisan Nasional kes kedua mereka tetap diteruskan sehingga mengakibatkan mahkamah terpaksa mengeluarkan waran tangkap kerana kedua – dua mereka gagal menghadirkan diri di mahkamah.

Dua hari selepas itu Speaker Dewan Undangan Negeri Perak turut difailkan kesnya di mahkamah atas beberapa alasan yang keseluruhanya menjurus kepada pertikaian persoalan perlembagaan serta pentafsiran yang cukup kompleks.

Sesungguhnya rakyat yang dibelit oleh kemelut kehidupan sukar kesan krisis ekonomi dunia bagaikan terabai masa depan mereka apabila pemimpin terus bergelut dalam percaturan politik yang tiada nampak noktahnya.

Belum lega dengan krisis perlembagaan di Perak, tiba-tiba Selangor yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat turut terdedah dengan isu saman menyaman antara Menteri Besar Tan Sri Khalid dengan calon Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Khir Toyo yang juga sedang menghadapi kes melakukan demonstrasi haram di Pualau Pinang.

Tidak cukup dengan kegawatan tersebut, Ketua Pengarah BPR pula secara tiba-tiba mengumumkan siasatan ekspress terhadap Tan Sri Khalid berhubung penyalahgunaan kuasa menyelengara kereta peribadinya serta kes sepuluh ekor lembu korban telahpun selesai serta ada kes untuk dihadapkan ke mahkamah.

Dua tiga hari sebelum itu timbul kisah cek mek molek Elizabeth Wong Adun Bukit Lanjan telah “ditelanjangkan” oleh penyebar sms serta internet hingga membawa kepada kemungkinan berlakunya pilihanraya kecil bagi Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan Selangor.

Mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula telahpun mengemukakan saman terhadap Peguam negara dan polis berhubung kes “mata lebamnya” yang masih terus menghantui rakyat kesan kerakusan pemimpin untuk terus berada di anjung kuasa.

Pengerusi DAP pula terus dengan sensasi yang pernah dilakukan dua puluh tahun dahulu mahu mengheret Sultan Perak ke muka pengadilan hingga meletakkan rakyat berada dalam situasi resah berpanjangan.

Sesungguhnya situasi rencam dan lenjan dalam senario politik tanah air masakini merupakan situasi cukup terburuk dan amat menjengkelkan. Rakyat yang mengharapkan dapat berteduh serta berpayung dibawah konsep demokrasi berperlembangaan kini merasakan diri mereka amat terbiar kesan percaturan yang tidak diketahui bilakah akan berakhirnya sandiwara mereka yang matlamatnya memburu kuasa..... hampeh dan sungguh menghampehkan.

Sampai bila rakyat harus mengizinkan situasi sebegini? Pilihanraya umum telah pun berlalu lebih setengah tahun lamanya, namun sejak Barisan Nasional memperolehi kuasa mentadbir negara ekonomi rakyat semakin sulit jadinya. Barang mencanak tanpa mampu di kawal. Harga barangan yang dihasilkan rakyat seperti getah dan kelapa sawit merudum dan lebur.

Pakej rangsangan ekonomi yang dipunggah dari khazanah negara sejumlah 7 billion ringit entah kemana lesapnya dan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib masih meneruskan hasratnya pertengahan Mac akan datang untuk membentangkan mini bajet yang tentunya bakal mencedok lagi sejumlah billion ringgit dari kantung negara.

Sejumlah lima billion ringgit yang telah dicekup untuk merangsang pasaran saham melalui syarikat Value Cap seperti yang diumumkan olehnya hujung tahun lalu tidak sedikitpun menampakkan hasilnya kerana pada setiap hari pasaran saham didagangkan atau diapungkan di Bursa Kuala Lumpur situasinya tetap “terhencut-hencut” dan ada kalanya tersemban tidak bermaya.

Dari sejumlah lebih satu ribu kaunter yang didagangkan di bursa hampir separuh tidak diniagakan (terkontang kanting) sementara kaunter-kaunter tertentu sahaja berterusan naik turun bagiakan perminan yo-yo.

Kepada mereka yang bernama pemimpin, apakah masih belum sedar lagi tentang meruapnya darah rakyat melihat klebobrokkan dan sandiwara pincang yang ditonjolkan sejak dua tiga bulan kebelakangan ini? Apakah anda semua masih belum insaf bagaimana deritanya masyarakat petani, buruh dan para nelayan yang setiap hari dilambung ombak sengsara?

Berapa puluh ribu kakitangan syarikat swasta yang telah lebur masa depan mereka kesan diberhentikan oleh syarikat yang tidak lagi bersedia untuk beroperasi. Bagiamana pula dengan para siswazah yang semakin tepu menjadi penganggur terhormat?

Sampai bila rakyat harus dibungkus dan diulit kehidupan sebegini payah? Anda semua yang bergelar Menteri punya gaji besar dan banyak projek yang boleh ditelan atau disamun untuk dibawa pulang hasilnya bagi mengisi tembolok anak isteri di rumah. Bagiamana dengan rakyat marhain? Bangsat sungguh percaturan politik anda semua yang berada di anjung kuasa. Saban hari anda mempermainkan hati dan terus menjeruk perasaan rakyat.

Cukup-cukuplah berpolitik, musim pilihanraya telahpun selesai, rakyat telahpun memberi kepercayaan kepada mereka yang berkesempatan bergelar wakil rakyat atau menteri. Apa yang rakyat perlukan adalah pembelaan. Bosan rakyat melihat mahkamah dijadikan medan percaturan politik. Jangan sampai akhirnya rakyat hilang percaya terhadap sistem demokrasi.....!!! fikir-fikirkanlah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.