Ahad, 1 Februari 2009

Dekati Tajol sertai Pakatan Rakyat

Tarmizi Mohd Jam


PERLETAKAN jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Dato' Seri Tajol Rosli cukup menarik. Pada mulanya, Tajol menafikan tiada apa-apa impak politik apabila proksi kuatnya di Parit, Dato' Nasharuddin Hashim melompat meninggalkan Umno menyertai KeADILan.

Banyak pihak memandang sepi, apa jua tindakan yang bakal diambil oleh Adun Bota itu. Rungutan dan rasa tidak puashati beliau dengan cara gaya pemilihan Umno bahagian yang didominasikan oleh kumpulan Dato' Zaim Abu Hassan, Ketua Umno bahagian sekarang merangsang keinginannya untuk melawan arus.

Cerita Nasharuddin nak melompat parti sudah terngiang-ngiang di telinga mereka yang prihatin. Khabarnya, beliau pernah meminta pandangan dari Ketua Bahagian KeADILan Parit dan Yang Dipertua PAS Kawasan berkenaan hasrat tersebut.

Di kalangan Umno, tentu sekali 'pejam sebelah mata' tidak yakin anak Bota Kiri ini nekad meredah arus dan mencipta sejarah dalam politik negara, apabila berani meninggalkan Umno dan membawa mandat Adunnya ke kancah Pakatan Rakyat.

Bagi saya, Nasharuddin adalah seorang yang profesional, terbuka dan berhemah tinggi. Tindakannya melompat itu juga adalah rasa tanggungjawabnya terhadap pengundi tegar yang juga ahli dan penyokong Umno di Dun Bota.

Lebih 10 cawangan yang mendesak dan mengasak beliau untuk menentang Ketua Bahagian Umno sebenarnya masih bersama beliau. Mereka mahukan perubahan kepimpinan Umno Parit, dan keinginan itu cuba disekat oleh Dato' Zaim sejak kemunculan Nasharuddin di Parit menjelang tahun pilihan raya umum 1999.

Sebelum dijatuhkan, Nasharuddin adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian yang cukup disegani. Pada pilihan raya umum lalu, nama beliau disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar mengantikan Tajol Rosli. Kemungkinan itu cukup kuat apabila Nasharuddin dikenali sebagai proksi Tajol dan Tajol sendiri pernah memberi syarat kepada Umno Parit tentang penyertaan istimewa Nasharuddin dalam haraki kepimpinan Umno bahagian itu.

Walaupun sebahagian kepimpinan Umno Perak menamakan Adun Pangkor, Dr. Zamry Abdul Kader sebagai pengganti Tajol, namun hubungan baik beliau dengan Nasharuddin dijadikan kayu ukur mengapa pada pilihan raya umum lalu, Nasharuddin dipindahkan dari Parlimen Parit ke Dun Bota.

Namun, permainan licik Dato' Zaim barangkali, menyebabkan Nasharuddin tersungkur di Bota berikutan BN gagal membentuk kerajaan di Perak. Sekalipun gagal, jawatan beliau sebagai Pengerusi Felcra Bhd tidak sepatutnya dicantas semata-mata untuk menyekat kemaraannya dalam Umno Parit.

Dato' Zaim dan catatan sejarah menunjukkan, kubu kuat Umno berada di Dun Blanja dan golongan kiri yang suka 'memberontak' sejak dulu, wujud di Dun Bota. 10 cawangan Umno yang mendokong Nasharuddin ada ada di Bota. Zaim tidak tembus di sebelah sini.

Apa yang jelas, lompatan Nasharuddin mengecewakan Tajol. Bukan sahaja beliau meletakkan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Perak malah, melepaskan juga jawatan Ketua Umno Bahagian Grik dan tidak mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi Umno (MT) Mac depan.

Pimpinan PAS atau sesiapa jua patut digesa merundingi mantan Menteri Besar Perak ini agar beliau melompat ke Pakatan Rakyat. Bagi saya, tiada apa yang mustahil dalam politik Malaysia hari ini.

Tiada siapa terfikir Nasharuddin, seorang Adun BN boleh melompat meninggalkan Umno menyertai KeADILan. Tidak berlaku dalam sejarah seperti belum pernah terjadi seorang menteri kabinet BN melepaskan jawatan semata-mata menentang penyalahgunaan ISA. Tapi ia terjadi pada Dato' Zaid Ibrahim, Menteri di JPM.

Malah keputusan pilihan raya umum lalu dengan Pakatan Rakyat menguasai lima negeri juga bukti banyak perkara boleh terjadi di luar lingkaran akal.

Sekalipun, Ramly Zahari menafikan Adun Pangkalan Baharu, Dato Hamdi Abu Bakar dan Adun Lintang, Dato' Ahamad Pakeh Adam akan melompat namun ia tidak boleh menyekat jika mereka berdua mahu melompat juga.

Macam mana seorang Adun di utara Perak dan dipingggir Ipoh, yang dikatakan akan melompat tidak lama lagi? Semua perkembangan ini sarat dengan mesej semakin punahnya Umno sebagai parti Melayu. Ini diakui dengan syor Tengku Ahmad Rethauddeen, hapuskan semua sayap Umno..._

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.