Khamis, 1 Januari 2009

Seribu pejuang Indon akan ke Timur Tengah hentam Israel

AGENSI


JAKARTA: Sebuah kumpulan militan di Indonesia semalam berkata ia akan menghantar sehingga 1,000 sukarelawan untuk berjuang bersama rakyat Palestin sebagai tindak balas terhadap serangan udara Israel ke atas Jaluran Gaza, yang telah mengorbankan lebih 300 rakyat Palestin.

Setiausaha Barisan Pembela Islam (FPI), Ahmad Soebri Lubis, berkata kumpulan itu akan mula merekrut sukarelawan dalam beberapa hari ini. Mereka akan dihantar ke kem latihan di Indonesia untuk menyiapkan diri bagi 'medan perang'.

'Pejuang mesti bertubuh sihat, kuat iman dan rela mati syahid. Mereka akan diberi tiket sehala sehingga kami mengalahkan Israel,' katanya kepada agensi berita Reuters.

Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, semalam mengulangi kutukan keras terhadap serangan keterlaluan Israel ke atas Jaluran Gaza, sementara 1,000 rakyat Indonesia menunjuk perasaan membantah serangan itu.

Dr Yudhoyono berkata Indonesia bercadang memberi AS$1 juta bagi bantuan kemanusian selain AS$181,000 bagi bantuan perubatan kepada mangsa rakyat Palestin.

Di Teheran, sebuah parti politik konservatif Iran juga mengumumkan akan merekrut pejuang untuk membantu rakyat Palestin memerangi Israel.

Jame-e-Roohani at-e-Mobarez, yang bermaksu Persatuan Ulama Pejuang, menawarkan tiga pilihan menerusi laman webnya untuk memerangi Israel, termasuk secara ketenteraan, kewangan dan publisiti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.