Selasa, 20 Januari 2009

Rasuah pemilihan Umno bahagian: Naib Ketua antara 3 didakwa Khamis

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI, 1.30 TENGAH HARI]


PETALING JAYA: Tiga orang termasuk seorang Naib Ketua Umno akan didakwa di mahkamah Khamis ini atas tuduhan memberi wang rasuah ketika pemilihan Umno Bahagian baru-baru ini.

Mereka melibatkan ahli Umno di Perak, Pahang dan Melaka.

Pemilihan Umno berlangsung selama sebulan antara awal Oktober dan November lalu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, ketiga-tiga mereka akan didakwa pada hari yang sama.

Dalam kes pertama, jelas SPRM, seorang Naib Ketua Bahagian Umno di Perak dijangka didakwa atas dakwaan memberi wang rasuah RM300 kepada seseorang dalam pemilihan bahagian.

Sementara itu, seorang lagi ejen dijangka akan didakwa kerana memberi rasuah RM200 kepada seseorang bagi mengundi calon dalam pemilihan Ketua Bahagian Umno di Pahang.

Di Melaka, seorang lagi ejen juga dijangka didakwa atas dakwaan memberi RM200.

Ketiga-tiga mereka akan didakwa mengikut Seksyen 10(b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2008.

Ia merupakan kes pertama melibatkan SPRM beroperasi sejak 1 Januari lalu.

Akhir bulan lalu, SPRM yang dulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkata, akan memfailkan pendakwaan terhadap sekurang-kurangnya tiga ahli politik berhubung kesalahan rasuah, politik wang dan salah guna kuasa dalam masa terdekat.

Selain itu, beberapa kes berkaitan isu sama yang selesai disiasat dihantar semula ke Bahagian Siasatan BPR untuk dikemas kini bagi menghasilkan kertas siasatan lebih kukuh, malah ada yang diserahkan kembali kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan dalaman parti berkenaan.

Bagaimanapun ahli politik yang akan didakwa itu bukan calon yang bertanding jawatan tertinggi Umno pada pemilihan parti itu, Mac depan.

Persetujuan untuk meneruskan proses pendakwaan terhadap tiga kes itu diberikan selepas meneliti secara terperinci kertas siasatan yang diserahkan Bahagian Siasatan BPR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.