BERNAMA
JOHOR BAHRU: Seorang anggota tentera hari ini memfailkan saman RM250,000 terhadap tiga pegawai atasannya bagi memfitnah dan menderanya sehingga cacat di Pos Tanjung Sepang, Sungai Rengit, Kota Tinggi, kira-kira dua bulan lepas.
Prebet Khanafi Umar memfailkan saman itu melalui peguamnya Lt Kol (B) Syed Ismail Syed Omar dari Tetuan Kamal Hisham & Associates di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di sini.
Dalam saman itu, Khanafi, 27, menamakan Pegawai Gerakannya Mejar Norazmi Idris sebagai defendan pertama; Pegawai Risiknya Kapten Saiful Adli Ishak sebagai defendan kedua dan Pegawai Pemerintahnya Lt. Kol Adnaan Mahmod sebagai defendan ketiga.
Dalam saman itu, dia memohon ganti rugi am dan teladan berjumlah RM250,000, faedah pada kadar 8 peratus setahun dari tarikh saman sehingga penyelesaian penuh kes itu.
Dalam pernyataan samannya, Khanafi dari Batalian ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan berasal dari Sarawak, mendakwa defendan pertama dan kedua telah memanggilnya ke pejabat markas gerakan Pos Tanjung Sepang, Sungai Rengit kira-kira 10 malam, 3 November lalu. Kedua-dua mereka kemudian mengurungnya dalam bilik pejabat berkenaan setelah memfitnah dan menuduhnya merogol seorang wanita pendatang asing tanpa izin dan mencuri barang milik wanita itu ketika menjalankan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin di perairan berkenaan.
Ketika dikurung, Khanafi mendakwa kedua-dua defendan mengeluarkan kata kesat yang mengaibkannya dan turut dibogelkan serta diacukan sebilah pisau bayonet supaya membuat pengakuan merogol dan mencuri barang wanita tersebut.
Penafian Khanafi menyebabkan defendan pertama dan kedua memukul dan menyeksanya sehingga pukul 5 pagi dan akibatnya dia mengalami luka dan lebam pada badan dan patah tangan kiri.
Dia menerima rawatan perubatan di Hospital Kota Tinggi dan Rumah Sakit Angkatan Tentera Kem Majidee, di sini.
Plaintif mendakwa defendan ketiga secara fitnah mengulangi tuduhan bahawa plaintif bersama-sama tiga anggota lagi melakukan kesalahan merogol dan mencuri tanpa melakukan siasatan dalam perjumpaan bersama pegawai bawahan di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang pada 5 November lalu.
Defendan ketiga juga didakwa memintanya menarik balik aduan polis yang dibuatnya dengan mengeluarkan ancaman yang Khanafi akan dikenakan tuduhan dan dihukum oleh Mahkamah Tentera sekiranya enggan berbuat demikian atau diberhentikan kerja dengan cara hina.
Khanafi melalui peguamnya menghantar notis tuntutan kepada semua defendan pada 22 Disember lalu dan menuntut mereka bertanggungjawab atas perbuatan serta membayar ganti rugi dan meminta maaf tetapi mereka enggan, ingkar dan abai berbuat demikian.
Bercakap kepada pemberita selepas memfailkan saman itu, Khanafi yang hadir dengan keadaan tangan berbalut berkata, tindakannya memfailkan saman itu bertujuan memberi pengajaran kepada pegawai atasan yang didakwanya telah menyalahgunakan kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.