Selasa, 13 Januari 2009

PAS dakwa Umno parti ekstrem perkauman

SIASAH DAILY


KUALA TERENGGANU : PAS melahirkan rasa kesalnya terhadap tindakan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) yang terus-terusan memainkan sentimen kaum dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya menemui satu risalah yang disebarkan BN yang mempertikaikan tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan cara memainkan api perkauman.

"Dalam media, pemimpin Umno dan BN bercakap soal perpaduan tetapi apabila datang kepada kaum masing-masing, mereka menyebarkan api perkauman," kata beliau sambil menunjukkan satu risalah yang disebarkan kepada penduduk Melayu di Kuala Terengganu.

Beliau yakin risalah itu dibuat oleh jentera pilihan raya BN untuk menanamkan rasa marah orang Melayu terhadap pemimpin Pakatan tetapi kandungannya penuh dengan semangat perkauman yang ekstrem.

Antara kandungan risalah itu adalah "Hanya kerana nak terus berkuasa, Tan Sri Khalid sanggup jadi barua DAP", "Haram jadah punya Khalid Ibrahim, sanggup jual bangsa sendiri" dan sebagainya.

Sudahlah kandungannya penuh dengan hasutan, fakta yang disiarkan dalam risalah bertajuk "Buletin anak Jawa Selangor" itu penuh dengan penyelewengan dan tipu muslihat, kata Mustafa.

"Saya ingin bertanya kepada Umno, kenapa sampai perlu buat begini?" kata Mustafa dalam sidang media di Markas Besar PAS itu.

Bagi Mustafa, pendekatan Umno ini berbeza dengan PAS dan Pakatan Rakyat.

"Semasa kami memerintah Terengganu dahulu, kami bela semua pihak termasuk penduduk Cina di negeri ini sehingga Umno juga berkempen apa guna kami beri cukai pintu percuma kerana ia menguntungkan orang Cina kerana mereka ramai di bandar," beritahu Mustafa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.