Muda Mohd Noor
PAS Terengganu akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan ugutan datuk bandar Kuala Terengganu terhadap kakitangannya semalam.
Pesuruhjaya parti itu Datuk Mustafa Ali hari ini berkata laporan akan dibuat di pejabat SPR negeri di Wisma Persekutuan.
Semalam, tambahnya, pembangkang telah membuat laporan kepada pihak polis berhubung perkara itu.
Laporan polis itu mendakwa Datuk Mat Razali Kassim, yang dilantik pegawai pengurus pilihanraya kecil parlimen tersebut, memberi kata dua supaya mengundi calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Datuk bandar itu didakwa berbuat demikian kepada lebih kurang 590 kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dalam satu pertemuan di Dewan Tunku Abdul Rahman.
"Kita ada cukup bukti mereka buat ugutan tersebut kerana kita ada orang yang memberi laporan kepada kita," kata Mustafa kepada wartawan di Kuala Terengganu hari ini.
Dalam laporan polisnya, ketua Angkatan Muda PKR Mohd Fariz Musa mendakwa Mat Razali pernah berucap kepada kakitangan MBKT: "kalau berani dan tidak takut dibuang kerja, silalah (sokong pembangkang)".
"Saya memohon pihak polis supaya menyiasat dakwaan bahawa wujud amaran dan ugutan oleh pegawai pengurus pilihanraya Datuk Mat Razali Kassim yang telah memaksa dan mengugut kakitangan bawahannya," laporan polis yang dibuat petang semalam dipetik.
Mustafa sebelum itu menghadiri majlis penyerahan memorandum bantahan terhadap dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains kepada pemimpin pembangkang di pejabat PKR negeri di Gong Kapas.
Mustafa juga seorang pemimpin BN berkata kepada kakitangan kerajaan, "pengundian tidak sulit, kita tahu apa yang kamu buat."
"Kita minta SPR membuat kenyataan terbuka mengenai kenyataan (bahawa) pengundian tidak sulit," katanya.
Mustafa juga mendakwa Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menghadiri majlis memperkenalkan calon BN kepada kakitangan kerajaan di wisma Darul Iman.
"Memperkenalkan calon kepada kakitangan kerajaan adalah salah di segi peraturan pilihanraya," katanya.
Ketika diminta mengulas peluang calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut, beliau berkata, persaingan kedua-dua parti itu masih dalam keadaan sengit 48 menjelang hari mengundi, Sabtu ini.
Dakwanya, PAS berada dalam keadaan yang baik kerana menerima sokongan daripada pelbagai pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.