Selasa, 27 Januari 2009

Gerhana Matahari Separa: 2,000 banjiri Planetarium Negara

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kira-kira 2,000 orang membanjiri Planetarium Negara seawal pukul 3 petang semalam untuk menyaksikan Gerhana Matahari Separa yang berlaku selama kira-kira dua jam 30 minit.

Pegawai Penyelidik Planetarium Negara, Lau Chen Chen berkata, orang ramai berpeluang melihat cahaya matahari terlindung oleh bulan sehingga mencapai liputan maksimum sehingga 82.6 peratus.

"Gerhana matahari akan berlaku ketika fasa bulan baru dan pada masa yang sama bulan melintasi laluannya di antara matahari dan bumi menyebabkan matahari tertutup sebahagian atau keseluruhannya," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Gerhana Matahari dapat disaksikan pada pukul 4.34 petang apabila bulan mula menyentuh cakera matahari di mana situasi itu dikenali sebagai "sentuhan pertama" iaitu permulaan Gerhana Matahari Separa.

"Kebanyakan pemerhati tidak berupaya mengesan sentuhan gerhana pada masa ini disebabkan matahari yang terlalu terang, gerhana hanya akan dapat dilihat apabila bulan menutupi matahari secara perlahan membentuk sabit sehingga kegelapan maksimum tercapai pada pukul 5.50 petang," katanya.

Gerhana Matahari Separa berakhir pukul 6.55 petang di mana bayangan bulan mula hilang secara perlahan-lahan sebelum matahari terbenam.

Kali terakhir gerhana seumpamanya dapat dilihat di Malaysia pada 2002.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik berlangsung di Planetarium Negara antaranya tayangan filem "SOS Planet" di Teater Angkasa pada 5 petang dan tayangan laser "The Legend of the Night Sky".

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad menyeru semua umat Islam supaya menjadikan kejadian gerhana matahari untuk menghayati dan menginsafi kebesaran Allah SWT dalam mengatur alam ini.

Beliau berkata solat sunat gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.

"Hukum ini adalah berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah SWT.

"Tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya, maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang (hilang gerhana)," katanya.

Sebelum itu beliau menyampaikan khutbah yang bertajuk 'Pengukuhan Iman Melalui Peristiwa Gerhana Matahari' dan turut mengimamkan solat sunat gerhana matahari selepas Asar di Masjid Wilayah Persekutuan yang turut dihadiri lebih 3,000 umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.