Selasa, 27 Januari 2009

Denggi diisytihar wabak

Oleh ARSHAD KHAN


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengisytiharkan denggi sebagai wabak di seluruh negara ekoran kesnya terus meningkat termasuk yang melibatkan kematian.

Langkah itu ekoran statistik menunjukkan 4,221 kes denggi dengan 12 kematian dilaporkan hanya dalam tempoh 23 hari iaitu dari 1 hingga 23 Januari lalu, meningkat hampir sekali ganda berbanding 2,153 kes yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Bagi tempoh yang sama tahun lepas, lima kematian dilaporkan.

Ekoran perisytiharan itu, Kementerian Kesihatan telah mengarahkan penubuhan pasukan khas di setiap daerah.

Menterinya, Datuk Liow Tiong Lai berkata, pasukan itu akan bertindak memusnahkan pembiakan nyamuk aedes sebaik menerima laporan kes demam denggi.

“Denggi kini telah menjadi wabak kerana merebak dari satu tempat ke satu tempat. Jadi, kita menyeru semua rakyat jangan ambil remeh hal denggi.

“Langkah-langkah (pencegahan) yang diambil akan lebih drastik. Kita pastikan para doktor buat laporan cepat (kepada pihak kementerian),” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini, hari ini.

Majoriti kes denggi berlaku di Lembah Klang dengan Kuala Lumpur mencatatkan 409 kes dengan dua kematian dalam tempoh itu berbanding 270 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Kes denggi di beberapa buah negeri turut mencatatkan peningkatan mendadak dengan sejumlah 245 lima kes dilaporkan di Pulau Pinang berbanding 100 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas dan Kedah merekodkan sejumlah 128 kes berbanding 65 kes pada 2008

Tiong Lai menambah, pihaknya akan melancarkan kempen besar-besaran untuk menangani denggi pada awal minggu depan dan menggesa orang ramai memberi kerjasama bagi sama-sama membanteras nyamuk aedes.

Katanya, pegawai-pegawai kesihatan juga telah diarah agar memperhebatkan aktiviti pengasapan bagi membendung nyamuk aedes.

Jelas beliau, keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan secara kerap membawa kepada peningkatan nyamuk aedes di banyak kawasan.

Sementara itu, Bernama yang memetik Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Ismail Merican berkata, kementerian telah menemui simptom luar biasa dalam beberapa kategori kes demam denggi yang teruk.

Biasanya dalam kes demam denggi yang teruk, katanya, pesakit akan mengalami pendarahan dan kiraan platlet darah adalah rendah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.