Khairul Azlam Mohamad
KUALA TERENGGANU - Kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu membawa satu isyarat yang jelas bahawa rakyat mahukan perubahan.
Dalam pilihan raya kecil kali ini, kerjasama Pakatan Rakyat antara PAS, Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) dan DAP adalah lebih kukuh dan kuat dari Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian pada majlis Ceramah Perdana Sempena Kemenangan Pilihan Raya Kecil P036 Kuala Terengganu, di Kampung Tanjung, dekat sini, 21 Januari lalu.
Katanya, dalam Pakatan Rakyat terdapat pelbagai parti politik yang berbeza dasar dan ideologi masing-masing.
Menurutnya, Barisan Nasional (BN) juga mengandungi komponen parti politik yang pelbagai ragam dan telah memerintah dalam tempoh yang begitu lama.
"Pakatan Rakyat, kita (PAS) terdiri daripada pelbagai parti politik yang berbeza ideologi dan perbezaan ideologi adalah perkara biasa.
"BN juga mengandungi komponen parti politik yang pelbagai ragam. Mereka (BN) memerintah dalam tempoh yang begitu lama," ujarnya. Image
Ustaz Abdul Hadi menjelaskan rakyat terutama para pengundi di Kuala Terengganu telah menunaikan satu amanah yang besar bagi menentukan masa depan negara.
Katanya, rakyat telah mengajar Barisan Nasional yang telah menipu rakyat berpuluh-puluh tahun supaya rakyat tidak faham amanah besar daripada pilihan raya ini.
"Umno yang mengajar 'ilmu salah', mengajar politik untuk dapat duit, dapat benda. Rakyat ditipu berpuluh tahun dalam penderitaan.
"Pilihan raya adalah satu amanah untuk menentukan masa depan anak cucu kita akan datang dan kali ini rakyat di Kuala Terengganu daripada semua parti termasuk di kalangan Umno sendiri telah berjaya menunaikan amanah melalui politik pilihan raya," tegasnya.
Justeru kata Dato' Seri Abdul Hadi, rakyat tidak wajar lagi menyerahkan amanah yang besar dan penting kepada parti yang gagal melaksanakan tugas tersebut.
Menurutnya, BN yang terdiri daripada Umno, MCA, MIC dan Gerakan kini menghadapi masalah 'retak menunggu belah'.
Katanya, pilihan raya adalah satu amanah memilih pemimpin dan kerajaan serta rakyat menjadi hakim apabila kerajaan membuat salah. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.