Harakahdaily
KUALA TERENGGANU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan 5,500 pegawai dan anggota, termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman di kawasan Parlimen Kuala Terengganu menjelang pilihan raya kecil pada 17 Januari ini.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Polis negeri, Dato' Jalaluddin Abdul Rahman, berkata orang ramai tidak perlu takut keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu nanti kerana keselamatan mereka terjamin.
Beliau berkata, polis membuka markas taktikal setempat dan menempatkan lebih 1,000 anggota di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Batu Burok, Bandar dan Ladang.
Jalaluddin berkata, polis membuat persiapan awal bagi memastikan perjalanan pilihan raya kecil berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini.
"Seramai 3,000 pegawai dan anggota daripada semua cawangan tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri semalam dan mendaftar untuk bertugas pada pilihan raya kecil ini," katanya yang dipetik daripada laporan akhbar.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, setiap markas taktikal yang diketuai pegawai berpangkat superintendan itu bertujuan melicinkan operasi keselamatan dan memudahkan orang ramai membuat aduan.
Katanya, pembukaan markas taktikal itu adalah konsep baru yang diperkenalkan pada pilihan raya kecil di Kuala Terengganu kerana sebelum ini semua kawalan operasi berpusat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).
Selain itu, beliau berkata, polis sudah menempatkan 19 pondok operasi sementara di empat DUN berkenaan iaitu enam di Batu Burok; Ladang (empat) dan masing-masing lima di Bandar dan Wakaf Mempelam.
Jalaluddin berkata, bilangan pegawai dan anggota polis akan ditambah 2,700 lagi pada hari penamaan calon pada 6 Januari dan mulai 10 Januari hingga hari penamaan calon 1,900 lagi anggota .- azm _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.